Komponen PN digesa gabung kekuatan, ketepikan masalah remeh

0
219

TIMBALAN Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan bahawa satu kajian menunjukkan bahawa 23 peratus anak-anak muda Malaysia telah bosan dengan politik.

Keadaan ini, katanya adalah sesuatu yang berbahaya kepada masa depan negara dan perlu ditangani segera oleh Perikatan Nasional (PN), khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua anggota komponen PN supaya bergabung tenaga bukan sahaja untuk memelihara watikan pelantikan ketua-ketua jentera pilihan raya, sebaliknya mengetepikan masalah-masalah remeh.

“Mari kita gabung kekuatan… mari kita mulakan gerak kerja sampai ke akar umbi. Pastikan bahawa isu remeh-temeh jangan kita besar-besarkan dan isu besar jangan kita remeh-temeh.

“Main bola, jangan sibuk dengan kemuncup yang lengkat di stoking, yang lengkap di seluar. Main dulu, lepas main baru cabut kemuncup.. lebih malang lagi kalau penjaga gol duk sibuk cabut kemuncup,” katanya pada majlis pemberian watikah pelantikan ketua-ketua pilihan raya Parlimen Selangor, malam ini.

Mengulas mengenai PRU-15, Tuan Ibrahim berkata pada pertengahan November, beberapa negeri khususnya negeri Pantai Barat akan menerima taburan hujan yang lebih berbanding bulan-bulan sebelumnya.

“Jika pilihan raya diadakan ketika musim tengkujuh dan banjir, maka jentera perlu memastikan pengundi yang menyokong PN keluar membuang undi. Sebab penyokong tegar sesuatu parti ini sangat penting dalam memenangkan pilihan raya. Kalau hanya ada kekuatan yang tak boleh kita pegang kerana penyokong atas pagar kita tetapi risiko kita ialah kalau sekiranya situasi yang menyusahkan mereka tidak akan keluar mengundi.

“Kecuali ahli parti yang hardcore dia tak peduli ribut taufan pun dia akan keluar. Tetapi bagaimana kita nak pastikan mobilisasi dapat dibuat supaya pengundi keluar beramai-ramai,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata kalau kita lihat pilihan raya di Melaka dan Johor yang memenangkan UMNO dan Barisan Nasional ialah penyokong tegar mereka.

“Tetapi sebenarnya kita (PN) masih majoriti untuk menolak BN. Tetapi kalau mobilisasi pengundi tidak dibuat, hubungan dengan pengundi tak dibuat, susah anak-anak muda kita… suatu yang kita bimbang dalam situasi cuaca demikian kalau mereka orang bersikap malas keluar mengundi dan seumpama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan supaya parti-parti gabungan PN tidak mempedulikan masalah remeh-temeh yang muncul, sebaliknya terus berjuang untuk memenangkan calon-calon PN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here