Lebih 10 peratus anak orang asli keciciran sekolah

0
281

DIANGGARKAN lebih 10 peratus anak Orang Asli tercicir daripada alam persekolahan atas pelbagai faktor antaranya logistik, keluarga dan elemen tidak mengambil berat tentang kepentingan pendidikan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) di sini hari ini, beliau berkata masyarakat Orang Asli meminta kerajaan supaya melihat cara bagi mengurangkan keciciran pelajar walaupun kehadiran mereka ke sekolah kini melebihi 80 peratus.

Selain pendidikan, turut dibincangkan ialah isu kesihatan dan pewartaan tanah masyarakat Orang Asli dalam MaPOA itu yang merupakan platform bagi masyarakat tersebut menyuarakan pandangan serta maklum balas dalam menyelesaikan isu berbangkit.

“Mengenai isu kesihatan, wakil komuniti itu menyuarakan agar lebih banyak pusat rawatan berpusat diperbanyakkan di perkampungan Orang Asli bagi memudahkan urusan mereka yang tinggal di pedalaman.

“Mereka turut mencadangkan perjawatan di Kementerian Kesihatan (KKM) seperti penolong pegawai perubatan yang disandang Orang Asli di negeri lain, dikembalikan ke perkampungan mereka,” kata Mahdzir.

Dari aspek pewartaan tanah Orang Asli, beliau berkata setakat Disember 2021 sebanyak 40,600 hektar melibatkan 215 kampung telah diwartakan merangkumi penempatan kediaman, rumah ladang atau dusun buah-buahan, manakala 638 kampung lagi masih dalam proses pewartaan oleh kerajaan negeri.

Di Semenanjung terdapat 853 kampung Orang Asli dengan penempatan paling banyak adalah di Pahang, Kelantan dan Perak.

Mahdzir berkata kesemua perkara yang dbangkit dalam MaPOA itu akan dibincangkan di peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pihak berkepentingan sebelum dibawa kepada kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan dan KKM, seterusnya Kabinet. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here