Bubar Parlimen: ‘Tunggu dulu’ – PM

0
294

JANGKAAN bila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen terus menjadi teka teki.

Ditemui media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini, Ismail Sabri meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi berkenaan.

“Tunggu dulu. Tunggulah… kalau daripada tahun lepas sudah tunggu, tahun ini boleh tunggu. Semalam dalam kenyataan SUA Setiausaha Agong UMNO, dia kata tahun ini (Pilihan Raya Umum) (PRU) ke-15,” katanya.

Ismail Sabri menafikan kononnya ada pihak menetapkan syarat tertentu supaya beliau memohon pembubaran Parlimen segera bagi memberi laluan PRU diadakan dalam tempoh terdekat.

“Tiada (syarat). Kita dari segi UMNO, ada ‘top five’, ada Biro Politik. Tiada sesiapa yang beri sebarang ‘condition’.

“Kalau kita mahu buat pilihan raya dan kita ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah. Cuma tarikh itu, tunggulah pengumuman,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu menerima pakai kenyataan Setiausaha Agung UMNO bagi menjawab persoalan mengenai bila PRU15 akan diadakan.

“Semalam, Setiausaha Agung UMNO Agung sudah buat kenyataan. Jadi kita pakai kenyataan dia sebagai SUA sebab kita sudah putuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Jurucakapnya dia seorang sahaja,” katanya.

Ditanya keputusan MKT UMNO malam tadi mahu PRU15 dipercepatkan dan diadakan dalam tahun ini juga, Ismail Sabri menjelaskan parti itu sudah menuntut lama untuk PRU iaitu sejak Februari 2020.

“Daripada dulu UMNO minta percepatkan pilihan raya. Bukan baru cakap. Kita mahu kembalikan (mandat) kepada rakyat untuk buat penentuan. Biar rakyat tentukan,” katanya.

Ahmad Maslan dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, MKT UMNO membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini dan Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here