Polis buru 5 lelaki rosakkan kereta guna batang besi

0
211

POLIS kini mengesan lima lelaki warga tempatan yang bertindak merosakkan sebuah kereta dengan menggunakan batang besi.

Kejadian berlaku di hadapan sebuah pasar raya di Taman Setia Indah, Johor Bahru, 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian terbabit dipercayai berpunca kerana salah faham ketika mangsa membunyikan hon tanpa sengaja.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 24 tahun pada pukul 1.55 petang.

“Suspek telah menyemburkan serbuk pemedih mata ke arah mata mangsa dan memukul kepala menggunakan topi keledar serta memecahkan cermin kereta hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, empat lelaki yang tidak dikenali disyaki rakan suspek telah datang dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Rakan suspek kemudian memecahkan cermin kereta belakang, cermin kanan dan kiri serta bonet hadapan dengan menggunakan dua batang besi panjang,” ujarnya.

Akibat daripada insiden tersebut, mangsa mengalami cedera bengkak di bibir, lebam di tangan kanan, sakit pada leher dan belakang badan.

Sehubungan itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Salaihudin Azual Razali di talian 013-7290763.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here