Ejen jualan kosmetik nyaris diseludup ke Laos

0
315

EJEN jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang berjaya diselamatkan selepas diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu, ditemui ketika cuba diseludup ke Laos.

Lapor Berita Harian yang memetik sumber berkata, kedudukan mangsa dapat dikesan berdasarkan maklumat yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum maklumat itu disalurkan kepada Polis Diraja Thailand.

Susulan itu, polis negara berkenaan membuat sekatan jalan raya di kawasan sempadan Thailand-Laos dan berjaya menyelamatkan mangsa.

Menurut sumber, mangsa kini berada di bawah pemantauan pihak polis di Kuala Lumpur selepas selamat tiba ke negara ini, semalam, untuk pemantauan tahap kesihatannya.

“Buat masa ini, polis sedang memantau perkembangan kesihatan fizikal dan psikologi mangsa sebelum dibenarkan pulang untuk bertemu keluarganya,” katanya.

Bagaimanapun, sumber enggan mendedahkan lokasi sebenar keberadaan wanita itu bagi mengelakkan mangsa diganggu buat masa ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan memaklumkan Rosnazirah, atau Azi, 36, berjaya diselamatkan Polis Diraja Thailand dan dihantar pulang ke tanah air.

Katanya, lokasi kedudukan mangsa berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Siasatan dan kerjasama erat antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya menjejaki dan mengenal pasti lokasi keberadaan mangsa di Thailand.

“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa negara itu dan dibawa pulang ke Malaysia hari ini,” katanya.

Acryl Sani dilaporkan berkata, seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur berhubung kes itu.

Azi dilarikan pada pukul 5.10 petang, 13 September lalu dengan menaiki kereta Toyota Vios dan terdapat penduduk mendakwa melihat mangsa menaiki bot ke Thailand.

Kereta sama kemudian ditemui pukul 10 malam hari sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.

Penculikan mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah dan susulan itu polis menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia antara 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here