[VIDEO] Perakuan MPN: Kabinet lulus 90.5 %, laksana hanya 23.2 peratus

0
271

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) hari ini mendedahkan walaupun Kabinet telah meluluskan 90.5% daripada perakuan-perakuan majlis itu berkaitan inisiatif-inisiatif yang berorientasikan tindakan (action-oriented) dan segera (immediate) untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan namun dari segi pelaksanaannya ia mengecewakan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada 69 perakuan berkaitan isu-isu utama hanya 16 perakuan atau 23.2% telah selesai dilaksanakan.

‘’Manakala 30 perakuan (43.5%) masih dalam pelaksanaan, 14 perakuan (20.3%) belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada kementerian atau agensi berkaitan dan 9 perakuan (13%) masih menunggu keputusan Kabinet,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat MPN hari ini.

Muhyiddin turut memberi beberapa contoh perakuan utama MPN yang prestasi pelaksanaannya adalah tidak memuaskan antaranya berkaitan dengan isu kekurangan tenaga kerja asing terutamanya dalam industri Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) yang menjejaskan produktiviti dan merencat proses pemulihan negara.

“Bagi menangani masalah ini, MPN dalam mesyuaratnya pada 2 Disember 2021 telah memperakukan kepada kerajaan supaya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja Dalam PMKS yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia.

“Tugas Jawatankuasa Tindakan Khas ini ialah untuk meneliti dengan terperinci apakah permasalahan dalam pengambilan pekerja asing dan mencari jalan penyelesaiannya dengan kadar segera.

“Namun begitu, dalam beberapa mesyuarat MPN selepas itu, wakil PMKS masih menimbulkan masalah kekurangan tenaga kerja asing yang terus membelenggu industri PMKS. MPN dalam beberapa mesyuarat sebelum ini dan pada mesyuarat hari ini telah menjemput Kementerian Sumber Manusia untuk membentangkan kemajuan status penggajian pekerja asing,’’ katanya.

Beliau berkata, MPN dimaklumkan sebanyak 1,152,276 permohonan kuota pekerja asing telah diterima daripada semua sektor industri daripada Januari hingga September 2022 dan daripada jumlah ini, sebanyak 467,223 (40.5%) kuota telah diluluskan tetapi hanya 76,000 (6.5%) pekerja asing telah dibawa masuk ke negara ini setakat 12 September lalu.

‘’Data ini menunjukkan jumlah kemasukan pekerja asing adalah jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar industri. Bagi MPN, isu kekurangan tenaga kerja asing di negara ini masih meruncing dan tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan walaupun MPN telah membangkitkan isu ini sejak bulan Disember tahun lalu,’’ katanya.

Muhyiddin menegaskan, MPN berpandangan langkah segera mestilah diambil oleh Kementerian Sumber Manusia untuk mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing yang diperlukan oleh semua sektor industri bagi menyokong proses pemulihan negara.

‘’Saya juga meminta supaya Perdana Menteri mengambil perhatian utama terhadap isu ini dan memastikan permasalahan yang dihadapi oleh industri dapat diselesaikan dengan seberapa segera,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here