[VIDEO]Pas masih komited bersama PN, Bersatu tak akan kerjasama dengan UMNO – Muhyiddin

0
387

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa mengesahkan beliau telah bersemuka dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, semalam berhubung dakwaan pertemuan ketua parti Islam itu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, menerusi pertemuan yang disifatkan harmoni itu, PAS masih komited untuk terus bersama-sama PN dan isu parti itu untuk keluar daripada gabungan berkenaan tidak berbangkit.

“Dalam pertemuan yang harmoni itu, PAS masih komited untuk terus bersama PN tidak ada isu berbangkit nak keluar daripada PN.

“Pertemuan itu juga menegaskan semula pendirian kami untuk bersama-sama, meneruskan kedudukan kami dalam gabungan PN,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Putrajaya hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu turut menjelaskan bahawa pertemuan Abdul Hadi dan Ahmad Zahid selama 30 minit sebelum ini tidak mencapai sebarang keputusan.

Dalam pada itu, Muhyiddin sekali lagi menegaskan bahawa parti Bersatu tidak mungkin akan bekerjasama dengan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) kelak biarpun berpandangan naratif Perpaduan Ummah itu dilihat satu usaha yang baik.

“Usaha Tok Guru Hadi untuk mewujudkan Perpaduan Ummah kita setuju, memang bagus. Namun realitinya saya jelaskan Bersatu takkan mungkin kerjasama dgn UMNO kerana dalam Perhimpunan Agong UMNO lalu mereka sudah jelas tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dan perkara itu sampai hari ini kekal.

“Dahulu pun kita dijemput menjadi wakil dalam Muafakat Nasional awal dahulu. Kita dah jawab bersetuju tapi tak jadi apa-apa. Jadi jelas terbukti UMNO tidak mahu bekerjasama, jadi kita terima itu sebagai satu kenyataan.

“Jadi apabila menghadapi pilihan raya, siapa sahaja tidak sehaluan dengan kita atau nak bertanding di mana-mana kerusi, kita tentanglah. Nak kata musuh, bukan musuh. Bermusuh bukan musuh tentang agama, tetapi politik ,” ulasnya.

Sementara itu, Muhyiddin turut memaklumkan menerusi perjumpaan bersama Abdul Hadi, beliau telah diberi bayangan bahawa PAS akan membuat keputusan muktamad mengenai hala tuju mereka ke hadapan bersama-sama PN dalam tempoh terdekat.

“Sama ada mereka ada apa-apa lagi usaha yang mahu buat dengan pihak UMNO dan sebagainya, mereka akan buat satu keputusan muktamad. Mungkin ‘cut off date and timeline that they got nothing to do with UMNO’.

“Kita dah serah kepada mereka dan berikan pandangan supaya kita tidak dilihat tidak kukuh. Dalam membentuk gabungan kita mesti mengambil pendirian yang sama dalam semua perkara. Tiada pertembungan kepentingan kerana kita mahu pastikan kemenangan kita dalam PRU akan datang,” ujarnya lagi—SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here