‘Dulu 1,000 papan, kini 300 papan sahaja’ -Pemborong telur ayam resah bekalan terhad

0
654

SEORANG pemborong telur berkata, kekurangan bekalan telur ayam terus menghimpit apabila bekalan yang ada dilihat masih tidak dapat mengatasi permintaan daripada pengguna.

Pemborong telur dari Perak, Rosmaliza Syahida, 38, berkata beliau sebelum ini mampu memperolehi bekalan telur sehingga 1,000 papan seminggu, namun kini kadarnya berkurangan kepada sekitar 300 hingga 400 papan saja seminggu.

Katanya, ini turut menjejaskan pengguna kerana beliau terpaksa mengutamakan pelanggan tetap, iaitu peniaga kedai runcit dan pembuat kek dengan jumlah yang dihadkan.

“Bekalan telur setakat ini di pasaran sangat merudum. Di kedai-kedai runcit pun tiada bekalan. Kalau ada pun, mereka utamakan peniaga.

“Sebagai pemborong telur, setiap minggu contoh, saya ambil 1,000 papan, kini saya dapat dalam 300 ke 400 papan saja. Jadi, ia tidak boleh menampung jumlah untuk dihantar kepada peniaga kedai runcit,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Rosmaliza berkata, pengguna seperti suri rumah sukar mendapatkan bekalan telur.

Beliau yang menjadi pemborong telur sejak dua tahun lalu turut mengakui harga telur rendah yang ditetapkan kerajaan sebelum ini menyebabkan pengilang tidak dapat mengeluarkan jumlah telur yang banyak.

Katanya, bagi mengatasinya, pengilang memerlukan harga siling tinggi kerana kos ditanggung mereka juga tinggi.

“Kerajaan perlu berikan subsidi yang tinggi. Kalau pengilang perlu naikkan harga telur ayam, kerajaan pun perlu bagi subsidi yang tinggi.

“Memang telur harganya dalam 35 sen hingga 45 sen sebiji. Tetapi, kalau orang yang nak buat kek perlukan telur, kalau kos pun sudah tinggi, maknanya harga makanan pun dah tinggi,” katanya.

Kerajaan menetapkan harga siling telur ayam Gred A pada 45 sen sebiji, Gred B (43 sen) dan Gred C (41 sen) sejak 1 Julai lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here