Roz Mawar tarik diri dengar kes saman 1MDB terhadap Irwan Serigar, Arul Kanda

0
43

SEORANG pesuruhjaya kehakiman hari ini menarik diri daripada mendengar kes saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang menuntut mereka membayar US$6.59 bilion.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Lavinia Kumaraendran, yang mewakili Mohd Irwan, ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes saman di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain.

“Oleh itu, tarikh pengurusan kes yang ditetapkan pada 27 Sept ini serta pendengaran permohonan Mohd Irwan dan Arul Kanda untuk membatalkan saman 1MDB pada 19 Okt dilapangkan,” kata peguam itu.

Permohonan untuk membatalkan saman itu ditetapkan untuk pendengaran di hadapan Roz Mawar bagi menggantikan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh yang akan berpindah ke bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas.

Difahamkan Roz Mawar sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pendakwaan dan Penguatkuasaan Sivil Suruhanjaya Sekuriti Malaysia iaitu antara agensi yang terlibat dalam siasatan 1MDB.

Arul Kanda dan Mohd Irwan disaman 1MDB pada Mei 2021 berhubung dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan dana negara itu mengalami kerugian berjumlah US$1.83 bilion membabitkan pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang berjumlah US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antara lain menuntut kedua-dua defendan membayar US$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here