[VIDEO] Mahasiswa ‘ikat perut’ imbangi segala kenaikan kos sara hidup

0
502

KENAIKAN sewa rumah dan kos sara hidup tinggi terus menjadi bebanan terutama golongan mahasiswa yang terpaksa melakukan kerja sambilan bagi menampung hidup.

Mahasiswa Universiti Tekonolgi Mara (UiTM), Wan Ahmad Salahuddin Wan Othman,22 berkata dia tiada pilihan selain menjadi penghantar makanan akibat kos kenaikan sara hidup yang sangat tinggi.

“Saya mula  kerja sambilan sebagai penghantar makanan sejak bulan Julai lepas. Ketika itu cuti semester dan saya terfikir macam mana mahu tambah pendapatan. Lagi pula saya memang tidak ambil sebarang pinjaman pendidikan kerana tidak mahu terikat dengan hutang.

“Memang agak perit juga sebab semua perbelanjaan saya tanggung sendiri. Ada juga ibu bapa beri duit poket, tapi memang tak cukup dengan keadaan sekarang. Lagi pula saya duduk menyewa di luar, sewa rumah sahaja sudah rm1,000,” katanya.

Menurut Wan, meskipun penat dia tetap gagahkan diri demi mencari sesuap nasi dan membayar yuran pengajian.

“Saya menjadi ‘rider’ setiap hujung minggu bermula 10 pagi hingga 12 malam. Memang ‘patah pinggang’ duduk atas motosikal, namun apabila terfikir tidak mahu bebankan keluarga, saya jadi kuat.

“Ada juga situasi di mana saya perlu menghantar tugasan dan saya jadi ‘rider’ pada waktu yang sama. Memang agak kelam kabut dan tertekan juga. Tetapi apabila sudah biasa, perkara itu akan jadi lebih baik dan pengurusan masa juga lebih teratur,” katanya kepada SatuBerita hari ini.

Bagi Nurul Aina Natasha Lagiman, 22 dia menggunakan cuti semester untuk bekerja kerana perlu menyelesaikan deposit rumah sewa.

Penuntut semester empat jurusan Pengurusan Hartanah itu berkata sejak tidak lagi duduk di kolej kediaman universiti, dia terpaksa ‘ikat perut’ demi meneruskan pengajiannya.

“Rumah sewa memang agak mahal sekarang. Saya pula duduk di Glenmarie dan berulang alik ke Shah Alam setiap hari. Deposit rumah sahaja sudah RM6,000,” katanya.

“Setiap hari saya bawa bekal untuk jimat duit makan. Memang agak ‘sakit’ juga sebenarnya. Mahu harapkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memang tidak cukup,” katanya.

Bagi Nur Nadia Safira Azlisham, 22 membuat kerja sampingan dan belajar sudah sebati dengan dirinya.

“Sebagai anak sulung, saya sudah biasa untuk berdikari dan tidak mahu menyusahkan keluarga. Ayah bekerja sebagai pemandu teksi. Tahu sajalah bagaimana situasi sekarang.

“Jadi untuk tidak membebankan mereka, saya buat kerja sambilan di platform ‘online marketing’  untuk tampung perbelanjaan sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here