Tomahan Ismail terhadap Muhyiddin dangkal, tidak bijak – Armada Pagoh

0
262

KENYATAAN Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap lemah malah hanya satu cubaan bagi meraih hati pengundi di Pagoh.

Sebelum ini, Ismail mengkritik keputusan Presiden Perikatan Nasional (PN) itu yang menuding jari terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dalam isu kejatuhan wang ringgit.

Armada Bersatu bahagian Pagoh tampil membidas kenyataan Ketua UMNO bahagian Pagoh itu, menyifatkan reaksinya sekadar cubaan mengambil perhatian pucuk pimpinan UMNO.

“Mendakwa teguran Muhyiddin kepada Perdana Menteri sebagai taktik propaganda memburukkan kepimpinan BN atau UMNO amatlah dangkal dan tidak bijak dalam berpolitik.

“Ismail boleh menghasut rakyat agar menyokong BN atau UMNO yang telah terbukti terpalit dengan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, namun biarlah rakyat Pagoh menilai perkhidmatan Muhyiddin di peringkat Persekutuan, Negeri mahupun Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismail dianggap gagal memahami situasi kerana mendakwa bekas Perdana Menteri itu mengurung rakyat sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara.

“Ternyata Ismail gagal memahami dengan jelas tindakan murni Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang bersungguh-sungguh ingin menyelamatkan nyawa rakyat ketika pandemik Covid-19.

“Kerajaan PN bukan sahaja telah bertanggungjawab dalam menguruskan Covid-19, malah berjaya mengusahakan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.

Di samping itu, Armada Pagoh juga mengajak orang ramai melihat pembangunan dibangunkan Muhyiddin terutamanya ahli UMNO yang mempertikaikan pengorbanan beliau.

“Di Pagoh terdapat Hab Pendidikan Tinggi Pagoh atau Bandar Universiti Pagoh. Kemudahan infrastruktur dan prasarananya yang baik selain pembangunan yang berpandukan konsep ‘Rural Urbanisation’

“Selain itu, Zon Ekonomi Khas Pagoh yang bakal mengetengahkan pelaksanaan projek berimpak tinggi dan menjadi ‘game changer’ bagi daerah Muar.

“Persoalan saya kepada Ismail, apa pula yang sempat beliau laksanakan ketika diangkat sebagai ADUN dan EXCO Kerajaan Negeri pada PRU13? Biarlah rakyat yang menilai,” jelasnya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here