[VIDEO] Pemandu cedera lompat keluar lori terbabas

0
332

SEORANG lelaki berdepan detik cemas apabila terpaksa melompat keluar dari lori dipandunya yang hilang kawalan dalam satu kemalangan di persimpangan lampu isyarat Persiaran Sultan Hishamuddin, Pelabuhan Klang, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Vijaya Rao Samachulu berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian sekitar jam 2.30 petang itu berlaku apabila lori yang dalam perjalanan dari arah Tanjung Harapan menuju ke Pelabuhan Klang itu hilang kawalan ekoran masalah brek.

Katanya, pemandu berusia 35 tahun itu telah mencuba untuk mengawal lori berkenaan dengan meluruskan stereng ke arah tembok konkrit untuk memberhentikannya sebelum bertindak melompat keluar untuk menyelamatkan diri.

“Pemandu lori mengalami kecederaan luka di kaki, belakang badan, dan bengkak lutut kanan. Ujian awal saringan air kencing telah dijalankan ke atas pemandu dan keputusan negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Video tular memaparkan pemandu melompat keluar dari lori yang terbabas sebelum lori berkenaan merempuh tembok konkrit di Persiaran Sultan Hishamuddin, pada Selasa.

Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selian memaklumkan lori berkenaan telah dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca kejadian. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fadli Ismail di talian 017-2141318.

“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah, membuat pemeriksaan kenderaan bagi memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya lagi.

Sebelum ini satu video tular yang telah dimuat naik ke media sosial memaparkan seorang lelaki melompat keluar dari lori yang sedang terbabas di bahu jalan sebelum kenderaan itu merempuh tembok konkrit.– SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here