Syabu bernilai RM8.53 juta dirampas

0
288

POLIS menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM8.53 juta dalam satu serbuan Op Mohave di sebuah rumah di Segambut Dalam, di Kuala Lumpur, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur bersama JSJN Bukit Aman berjaya merampas 236 kilogram (kg) dadah dibungkus dalam bungkusan minuman teh cina.

“Hasil soal siasat, polis menjalankan empat serbuan berasingan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Batu Gajah dan Tapah, Perak serta di Ulu Bernam, Selangor.

“Di Bukit Mertajam seorang lelaki ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kereta di hentian rehat, manakala serbuan di sebuah rumah di Batu Gajah berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan.

Sebahagian dadah jenis syabu bernilai RM8.53 juta yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam Ops Mojave ketika Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Polis menahan dua lelaki tempatan dalam satu serbuan di sebuah hentian rehat di sekitar Tapah dan seorang lelaki ditahan di Ulu Bernam dalam serbuan di sebuah kereta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Yahaya berkata, siasatan awal mendapati dadah terbabit diseludup masuk dari utara sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

“Suspek ditahan dipercayai berperanan sebagai penerima dan pengedar. Kita percaya sindiket ini aktif sejak bulan Julai tahun ini.

“Kebanyakan suspek ini menganggur, tetapi ada antara mereka bekerja sebagai pembantu kedai, dan bekerja sendiri untuk selindung kegiatan sebenar mereka,” jelas beliau.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Beliau berkata, semakan mendapati empat daripada suspek terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik dan lima daripada mereka didapati positif dadah.

Katanya, polis turut menyita empat buah kenderaan jenis Toyota Alphard, Ford Ranger, Perodua Axia dan Perodua Bezza serta merampas barang kemas.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan RM8.96 juta.

“Kesemua suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 47 tahun direman tujuh hari bermula Ahad untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB),” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here