Serik sewakan rumah kepada pelajar

0
354

KEBELAKANGAN ini, kecoh apabila pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)  dan swasta (IPTS) sukar mendapatkan rumah sewa terutama yang tinggal di luar kampus.

Antara masalah barbangkit adalah kadar sewa rumah yang mahal serta kolej kediaman yang sudah penuh. Tidak kurang juga terdapat pemilik kediaman yang enggan menyewakan kediaman mereka kepada pelajar akibat  ‘peristiwa hitam’ penyewa sebelum itu.

Seorang pengguna Facebook dikenali Zeeda Aziz antara pemilik kediaman yang sudah dua kali ‘terkena’ akibat menyewakan kediamannya kepada pelajar tidak bertanggungjawab.

Umpama ‘mimpi ngeri ‘ Zeeda kini ‘serik’ apabila terpaksa menyewa hotel selama seminggu untuk membersihkan kediamannya selain perlu membayar tunggakan bil elektrik berjumlah RM1,500.

“Saya pernah membuka peluang kepada pelajar menyewa apartment saya di Bangi. Waktu itu saya masih naif dan bersangka baik. Deposit rendah, harga sewa murah, apartment pun ‘fully furnished’. Saya siap belikan tilam untuk penghuni.

“Tamat satu semester, rumah dipulangkan dalam keadaan yang tak terluah dengan kata-kata. Terduduk saya tengok rumah hancur. Seminggu saya dengan suami menyewa di hotel untuk ulang alik bersihkan lantai yang berdaki, bilik air berlumut kuning hijau.

“Mangkuk tandas nak saya cerita tak warnanya? Pintu kabinet dapur pecah diterajang penghuni. Bong untuk hisap syabu dijumpai, kotak rokok,kondom,seluar dalam semua berterabur atas lantai ruang tamu,” luahnya di halaman  Facebook miliknya.

Menurut Zeeda, tidak mahu pisang berbuah dua kali, dia mengambil peguam bagi mengelak kejadian sama berlaku.

“Untuk sewaan kali ini, saya pesan pada penyewa supaya patuhi peraturan pada tenancy agreement. Deposit ya saya ambil tinggi, tapi ia akan dipulangkan jika rumah ditinggalkan dalam keadaan yang baik.

“Tiga bulan sebelum mereka tamat tempoh sewaan, saya Whatssap banyak kali beritahu supaya bersihkan unit sebelum keluar.

“Hari kunci dipulangkan…Allahu….ranap lagi. Mereka desak saya pulangkan deposit dan merayu datang dari keluarga susah,” katanya yang tegas tidak mengembalikan deposit kerana perlu kos baik pulih kediaman yang nilainya ribuan ringgit.

Bagi Noorashikin Hussein 42, sebelum ini dia pernah menyewakan kediamannya kepada pelajar di sekitar Shah Alam namun serik selepas mendapat ‘habuan’ tidak diinginkan daripada penyewa.

“Sebelum ni, saya pernah sewakan kepada pelajar sebab nak bantu mereka yang tidak dapat menginap di dalam kampus, tapi lain pulak yang jadi.

“Sekarang saya takut untuk menyewakan kepada golongan pelajar. Walaupun bukan semua namun saya tidak mahu kejadian sama berulang.

“Bayangkanlah sampah dibiar di ruang tamu, rumah kotor penuh sisa makanan tidak ubah macam tong sampah,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Manakala menurut Nur Aqilah 27, seorang penyewa yang juga merupakan pelajar di sebuah Institusi Pengajiaan Tiggi Swasta (IPTS) turut menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir pelajar yang dianggap tidak matang dalam menguruskan urusan.

Nur Aqilah yang kini menetap bersama dua orang rakannya di rumah sewa di sekitar Shah Alam, Selangor mengatakan isu ni akan terus berbangkit selagi masih ada individu dengan mentaliti sedemikian kerana ianya diangap berpunca dari diri sendiri dan bukanlah disebabakan status mereka yang bergelar pelajar.

“Orang macam ini, memang selayakanya tidak perlu kita bertoleransi, kira untung lah tuan rumah tidak ada mengambil apa-apa tindakan undang – undang,

“Sebab tindakan mereka, status pelajar itu sendiri menerima persepsi buruk dari masyarakat kerana bagi saya isu ini lebih tertumpu dengan masalah individu itu sendiri, cuma kesian banyak pelajar yang betul – betul mencari rumah sewa terpalit dengan kerisauan tuan rumah untuk sewakan kepada mereka”, katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Dia juga mengatakan pemilihan rakan serumah perlu diwaspada untuk mendapatkan persefahaman yang jelas terutamnya dalam menguruskan hal – hal bayaran sewa, serta bil – bil utiliti bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang masalah dengan tuan rumah.

“Rakan serumah memang kita kenal sekiranya ada apa – apa masalah kita boleh berbincang dan selesaikan bersama sebab itulah tanggungjawab kita sebagai penyewa”, katanya.

Seorang penuntut penuntut universiti awam Anwaar Badrol 24, berkata sebagai penyewa, dia turut terkesan disebabkan statusnya bergelar pelajar membuatkan dia mengalami sedikit kesukaran untuk  mendapatkan rumah sewa di peringkat awal .

” Saya tak nafikan, memang susah untuk mencari rumah sewa, terutamanya bila ingin mendapatkan kepercayaan daripada tuan rumah , kadang- kadang bila mereka tahu kita ‘student’, mereka terpaksa ambil masa untuk berfikir mungkin sebab dah masak dengan penyewa- penyewa sebelum ini.”

Anwaar yang tinggal bersama rakannya di sebuah rumah sewa di Taman Universiti, Johor Bahru dengan kadar sewa RM1,200 berkongsi sedikit pengalaman daripada kejadiaan sebelum ini apabila dia menyewa secara rambang dengan sekumpulan pelajar sehingga gagal mendapatkan wang deposit ketika keluar rumah.

” Saya juga pernah menyewa bilik di dalam sebuah rumah bersama pelajar yang senasib macam saya sebab tidak dapat menginap di kolej, tetapi disebabkan tiada tanggungjawab, keadaan rumah menjadi tunggang langgang ,satu demi satu kerosakan diabaikan, tanpa maklumkan kepada tuan rumah akhirnya lepas tamat kontrak penyewa tidak pulangkan langsung deposit malah kami terpaksa jelaskan lagi tunggakan-tunggakan yang ada”, katanya.

Jelasnya lagi, segala kontrak harus difaham dengan betul oleh semua ahli rumah sebelum mendiami rumah  supaya isu-isu ini boleh dikurangkan daripada terus mendapat perspektif buruk  oleh penyewa terhadap pelajar yang sememangnya masih ada sebhagian yang tidak bertanggungjawab.

“Masa mula – mula mahu masuk rumah, tuan rumah ada bacakan kontrak yang kami kena ikut, jadi perlu sama-sama faham dan boleh menjaga rumah macam rumah sendiri, nanti disebabkan beberapa pelajar yang buat masalah, habis semua terkesan dan susah nak dapatkan rumah sewa” katanya –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here