[VIDEO] Shahril Hamdan patut selesai isu rakyat, bukan sibuk cari alasan

0
237

SHAHRIL Hamdan sepatutnya menggunakan kedudukannya sebagai Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri menyelesaikan isu rakyat termasuk menjayakan cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Ketua Penerangan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Munir berkata, bagaimanapun Ketua Penerangan UMNO itu lebih banyak memberikan alasan dan berdolak-dalih mencari salah orang lain.

“(Jika begini), mudah jadi penasihat ekonomi. Hanya ‘taichi’, terima hasil dan biar rakyat makin menderita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Shahril Hamdan yang menggesa Muhyiddin ‘cermin diri’ terlebih dahulu sebelum melabelkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai gagal.

Muhyiddin sebelum itu memberikan pandangan supaya kerajaan bertindak lebih serius menangani isu kejatuhan nilai mata wang ringgit.

Mohd. Ashraf berkata, ketika mengkritik Muhyiddin, Shahril banyak lupa tindak tanduk dan desakan-desakan Pemuda UMNO yang boleh menggugat ekonomi negara.

“Dia lupa masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, Pemuda UMNO yang kuat melalak suruh kerajaan tutup kilang, tutup kedai, tutup pejabat.

“Muhyiddin tak tunduk kepada desakan Pemuda UMNO. Kilang-kilang, perusahaan dan perniagaan yang dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu tak ditutup.

“Bagi yang perlu ditutup pula, banyak bantuan yang diberikan menerusi inisiatif Penjana, Pemulih, Pemerkasa dan Prihatin PKS.

“Subsidi upah juga diberikan kepada syarikat untuk memastikan mereka dapat terus menggaji pekerja walaupun perniagaan terjejas,” katanya.

Mohd Ashraf menambah, ini berbeza dengan situasi sekarang, apabila ekonomi sudah dibuka namun masih ada syarikat dan kilang tidak dapat beroperasi sepenuhnya, ladang sawit membusuk sebab tidak ada pekerja memetik buah.

“Isunya sebab kekurangan tenaga kerja, tapi apa Perdana Menteri buat dan apa Shahril Hamdan sebagai pegawai ekonomi perdana menteri nasihatkan Perdana Menteri,” soalnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here