Pulau Pinang tolak PRU15 dalam musim tengkujuh – Kon Yeow

0
229

PULAU Pinang mungkin tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serentak peringkat Persekutuan jika ia diadakan semasa musim tengkujuh yang biasanya membawa hujan lebat dan banjir.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata keadaan sebaliknya jika PRU15 diadakan bukan dalam musim berkenaan.

“Kalau buat (PRU15) bukan dalam musim tengkujuh, itu cerita lain, tapi kalau semasa musim berkenaan, kami (kerajaan negeri) mungkin tidak (buat pilihan raya negeri serentak) kerana ia berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita di pejabatnya, seperti dilaporkan BH Online pada Selasa.

Sabtu lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan dalam tahun ini juga.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata kenyataan Presiden UMNO itu disalah tafsir sedangkan ia sebenarnya merujuk tahap siap siaga jentera BN yang bersedia sepenuhnya bagi menghadapi PRU15 walau dalam apa jua keadaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula menjangka PRU15 antara Oktober hingga Disember depan, manakala Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan PKR akan kemukakan bukti kepada UMNO bahawa rakyat menolak PRU15 pada musim tengkujuh.

Rafizi dipetik berkata, beliau akan mengusahakan satu pungutan suara untuk menunjukkan kepada UMNO dan Ahmad Zahid bahawa rakyat mencemuh parti politik yang galak berebut kuasa hingga mengabaikan persediaan menghadapi banjir.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri sebelum ini pernah memberi jaminan ia mungkin memanggil pilihan raya serentak dengan peringkat Persekutuan, jika proses mengembalikan mandat rakyat itu dibuat pada penghujung tahun ini.

Katanya, ketika itu kerajaan negeri berpendirian akan ikut mengadakan pilihan raya negeri serentak peringkat Persekutuan jika pembubaran Parlimen dibuat ketika sudah menghampiri penghujung penggal penuhnya, tanpa mengambil kira ia diadakan dalam musim hujan atau tidak.

“Sudah tentu sekarang, dengan BN begitu bertekad mahu PRU awal walaupun ketika musim tengkujuh, saya pasti ramai mengkritik keputusan itu. Sudah tentu musim tengkujuh tidak sesuai untuk kempen pilihan raya dan proses pengundian.

“Apa akan jadi kalau banjir semasa hari pengundian? Kalau bencana itu berlaku pada hari kempen, kita boleh terima kerana ada banyak hari untuk berkempen, tapi apa akan jadi kalau banjir pada malam sebelum hari pengundian?

“Bagaimana pengundi nak keluar gunakan hak mereka sekiranya terpaksa berdepan situasi hidup atau mati apabila rumah mereka tenggelam. Malah, pusat pengundian pun boleh terjejas, macam mana nak pergi mengundi di pusat pengundian yang ditenggelami banjir?,” katanya.

Beliau berpandangan, pihak yang mahu PRU15 disegerakan tanpa pedulikan kesan akibat banjir, tidak mengambil kira isu logistik dan nasib rakyat, malah bencana itu akan menyebabkan jumlah keluar mengundi rendah walaupun rakyat mahu keluar menunaikan tanggungjawab itu.

Malah, katanya, petugas pusat mengundi juga tidak dapat bertugas jika pusat berkenaan ditenggelami banjir dan tiada kenderaan dapat menghantar kertas undi jika bencana itu berlaku.

“Adakah ia akan jadi pilihan raya yang bermakna? Seluruh proses pilihan raya terjejas, adakah kita boleh merujuk Malaysia sebagai negara demokratik ketika kita tidak boleh keluar mengundi kerana ada pihak tertentu sangat mahukan PRU15 disegerakan walaupun semasa musim banjir?

“Saya rasa suara rakyat sudah cukup kuat, iaitu menentang pilihan raya diadakan semasa musim tengkujuh kerana mereka perlu melindungi nyawa dan tidak akan ke pusat mengundi jika ia terjejas akibat bencana berkenaan.

“Kita sudah melihat gambar-gambar sekolah dan dewan orang ramai yang tenggelam akibat banjir dan semua itu adalah pusat mengundi. Jadi, bagaimana kita nak harapkan rakyat keluar mengundi,” katanya.

Ditanya sama ada PRU15 semasa musim tengkujuh mungkin strategi untuk melihat peratus keluar mengundi rendah yang boleh menyumbang kemenangan kepada parti tertentu, Kon Yeow berkata, walaupun peratus keluar mengundi rendah, pengundi akan tetap menolak BN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here