Jangan guna bahan terlarang untuk berjaya – Ahmad Faizal

0
169

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mahu semua atlet terutama daripada sukan angkat berat, agar tidak menggunakan jalan singkat dengan penggunaan bahan terlarang untuk meraih kejayaan pada mana-mana kejohanan disertai mereka. 

Kesal dengan tiga atlet angkat berat Sukan Malaysia (Sukma) 2022 melibatkan dua negeri didapati positif doping pada ujian prakejohanan, beliau berkata masalah tersebut akan memberi kesan kepada sukan itu kembali disenaraikan sebagai sukan teras, selepas digugurkan akibat masalah doping.

“Ini masalah kedegilan…kita tidak guna jalan singkat capai kejayaan. Saya yakin kepada semua atlet, kalau anda semua berusaha bersungguh-sungguh tanpa menyalahi mana-mana peraturan anda mampu jadi juara. 

“Kita sedia maklum angkat berat bukan lagi sukan teras sebab masalah yang sama (doping), jadi tentunya perkara terbaharu ini mengundang masalah sama untuk kita martabatkan sukan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam Sukma ke-20 di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau percaya Majlis Sukan Negara (MSN) akan memperhalusi perkara tersebut dan membuat satu keputusan yang baik demi kepentingan negara.

Semalam, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengumumkan pihaknya menarik diri daripada mengendalikan acara angkat berat Sukma ke-20, kerana ketetapan badan induk itu berhubung kesalahan berkaitan isu doping yang tidak disambut baik MSN, selepas tiga atlet Sukma diuji positif pada ujian dilakukan Agensi Anti-doping Malaysia (ADAMAS).

Menurut PABM, mereka sebelum ini membuat ketetapan bahawa jika terdapat mana-mana atlet ahli gabungan/persatuan negeri positif doping, maka atlet tersebut dan atlet lain dalam ahli gabungan/persatuan negeri itu, akan digantung daripada menyertai Sukma ke-20.

Ketiga-tiga mereka, sebelum ini dilarang daripada mengambil bahagian dalam Sukma kali ini.

Ahmad Faizal berkata berikutan itu saingan angkat berat Sukma yang sepatutnya bermula pada Isnin, hanya membuka tirai hari ini, dengan acara tersebut dikendalikan pasukan khas penggiat sukan itu dengan kerjasama MSN.

Namun, beliau berkata pihaknya masih berharap supaya PABM kembali menguruskan acara berkenaan.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Terengganu Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak mengesahkan salah seorang atlet terpalit isu doping datangnya dari kontinjen Pantai Timur itu, namun tidak mempunyai butiran lanjut berhubung isu berkenaan.

“Memang ada atlet Terengganu terlibat (isu doping), tetapi saya sendiri tidak tahu nama atlet terlibat itu. Tindakan selanjutnya akan diambil apabila kita balik ke Terengganu, tengoklah atlet itu mahu buat ujian kedua atau macam mana,” katanya.

Tun Ahmad Faizal, bagaimanapun memaklumkan moral barisan badang Terengganu yang bakal memulakan aksi hari ini, berada di tahap tertinggi untuk mempamerkan prestasi terbaik mereka.

Pada 2017, angkat berat antara satu daripada tiga sukan digugurkan daripada senarai sukan teras susulan masalah doping selain sepak takraw dan taekwondo. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here