Bapa pelakon direman lagi berhubung kes pukul guna penyangkut baju

0
285

BAPA kepada pelakon remaja perempuan yang sebelum ini direman atas dakwaan serangan seksual terhadap anaknya kini direman sekali lagi selama empat hari bagi membantu siasatan kes memukul remaja itu menggunakan penyangkut baju pada 2014.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tempoh reman terhadap suspek berusia 43 tahun itu diperolehi selepas permohonan dilakukan di Mahkamah Majistret Shah Alam, tadi.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika ditemui selepas program townhall Polis Selangor di Dewan D’Cerana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Difahamkan, pelakon remaja perempuan berusia 15 tahun itu membuat laporan polis pada 8 September lalu mendakwa suspek memukul mangsa menggunakan penyangkut baju pada tahun 2014.

Sebelum ini, suspek itu ditahan sekitar pukul 2.25 petang pada 6 September lalu di kediamannya di Kedah sebelum dibawa dan direman sehingga semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Suspek lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah.

Mengulas lanjut, Arjunadi berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan berhubung kes suspek di IPD Subang Jaya.

“Kita sudah mengambil keterangan daripada saksi berkenaan bagi membantu siasatan tersebut bagaimanapun, jumlah saksi itu saya tidak boleh nyatakan,” katanya.

Baru-baru ini, pelakon remaja itu mendedahkan sikap buruk bapanya ketika ditemubual dalam satu program di YouTube.

Pelakon remaja itu mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual terhadapnya, selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

Selepas kisah itu tular, suspek yang menetap di Kedah ada membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu pada Ahad lalu untuk menafikan dakwaan anaknya itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here