15 maut dalam peristiwa berdarah 48 jam di Colombia

0
246

SEKURANG-kurangnya 15 orang terbunuh sejak dua hari lalu dalam beberapa insiden keganasan di Colombia.

Di bandar utara Barranquilla, enam orang ditembak mati oleh lelaki bersenjata pada pagi Isnin ketika sedang minum di sebuah bar.

Polis berkata, geng pengedar dadah, Gulf Clan melakukan serangan itu ke atas ahli kumpulan pesaing, Los Costenos.

Manakala di daerah Santander pada pagi Ahad, seorang guru, isteri dan dua anaknya dibunuh oleh sekumpulan penyerang, menurut pihak berkuasa tempatan di sana.

Lima pendatang warga Venezuela dituduh terbabit dalam pembunuhan itu, bagaimanapun kesemua mereka dibunuh dalam satu kejadian balas dendam.

Sebelum ini, Datuk Bandar memberitahu stesen radio nasional bahawa pembunuh adalah ‘orang dari Venezuela’ yang ingin ‘mencuri wang’ dan menggunakan pisau untuk membunuh mangsa.

Susulan serangan itu, pekerja kepada keluarga mangsa yang turut tercedera memaklumkan kepada jirannya, sebelum mereka bertindak ‘mengambil keadilan di tangan sendiri dan membunuh’ lima penyerang berkenaan.

Pada malam Sabtu lalu, seorang pemimpin kesatuan ditembak mati oleh dua penunggang motosikal bersenjata di bandar pelabuhan, Barrancabermeja.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indepaz, insiden tersebut merupakan pembunuhan ke-126 ke atas seorang pemimpin kesatuan sejak negara itu menandatangani perjanjian damai 2016 dengan gerila Marxist Revolutionary Armed Forces of Colombia.

Petro, presiden berhaluan kiri pertama Colombia, berikrar selepas kemenangannya dalam pilihan raya Jun lalu untuk membawa kedamaian secara menyeluruh di negara yang dilanda konflik itu.

Colombia berdepan konflik selama enam dekad membabitkan gerila berhaluan kiri, pengedar dadah, paramilitari sayap kanan dan pasukan tentera negara.

Sebagai seorang bekas gerila, Petro berikrar untuk berunding dengan kumpulan pemberontak terakhir yang diiktiraf di negara itu, Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN).

Dalam pada itu, beliau berkata akan berbincang dengan kumpulan pengedar dadah dalam usaha untuk menamatkan kitaran keganasan. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here