Khairy jelaskan Pak Lah kini hadapi dementia

0
254

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan bapa mertuanya, yang juga Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, kini mengalami penyakit dementia.

Memetik laporan Astro Awani, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, keadaan Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, yang kini berusia 82 tahun, telah merosot sehingga ke tahap beliau tidak mengingati orang di sekelilingnya.

Katanya lagi, Pak Lah juga telah sampai ke tahap – tubuhnya ada, tetapi bukan mindanya – dan tubuh badannya tidak berfungsi seperti sediakala.

“Mungkin ramai antara anda tertanya-tanya, di mana PM kelima (Pak Lah). Ya, beliau telah bersara (sejak 2009) dengan terhormat, dan tidak akan menimbulkan masalah untuk penggantinya. Beliau mempunyai dementia. Itulah sebabnya beliau tidak kelihatan lagi di mana-mana.

“Dementia itu satu situasi yang sangat kejam, kerana tubuhnya ada, mindanya tiada. Saya lihat bapa mertua saya merosot ke tahap beliau tidak lagi berfungsi secara normal. Beliau tidak ingat nama saya, tidak ingat nama isteri saya,” katanya Ketika berucap merasmikan Konferens Perubatan Psikologi Malaysia 2022 di ibu negara hari ini.

Khairy menyentuh mengenai kepentingan sokongan perubatan dementia, kerana majlis tersebut juga berkaitan pelancaran Garis Panduan Klinikal untuk Pengurusan Dementia (Edisi Ketiga), dan Pengurusan Skizofrenia (Edisi Kedua).

Mengulas lanjut, Menteri Kesihatan itu berkata, keluarga beliau mungkin mampu mendapatkan sokongan perubatan profesional untuk Pak Lah, tetapi situasi yang sama mungkin tidak dapat diperolehi atau diakses oleh sebahagian besar keluarga pesakit dementia di negara ini.

Khairy berkata, beliau dan Kementerian Kesihatan Malaysia sedang merangka Kertas Putih Kesihatan yang turut merangkumi usaha pemerkasaan dan pelaburan bagi memastikan dalam komuniti mendapat akses penjagaan di rumah.

“Ini mungkin permulaan bagi rakyat Malaysia, yang telah menderita akibat keadaan ini. Saya berharap, dalam proses mendraf Kertas Putih, dan pada sama proses menstruktur bajet (2023) KKM, kami dapat menzahirkan kes yang kukuh supaya sektor penjagaan kesihatan mendapat lebih banyak dana.

“Ia adalah sesuatu yang amat penting supaya petugas kesihatan dapat bersama-sama dengan petugas sosial. Supaya kita semua berada dalam pemahaman yang sama,” katanya lagi.

Khairy berkata, perlu ada satu jawatankuasa bersama antara agensi berkaitan bagi memperincikan mengenai perkara tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here