‘Bukan hanya saya tapi seluruh Malaysia kecuali Johor sokong Terengganu FC’ – MB Kedah

0
336

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tanpa berselindung sekali lagi menzahirkan sokongan kepada pasukan Terengganu FC (TFC) yang akan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi akhir Piala FA 2022, Sabtu ini.

Sokongan itu kata Menteri Besar Kedah tersebut dibuat berdasarkan pendiriannya yang sentiasa menyokong pasukan yang diletakkan sebagai bukan pilihan atau ‘underdog’ selain isteri beliau adalah ‘orang Terengganu’.

“Saya percaya bukan saya sahaja yang menyokong pasukan pantai timur berkenaan untuk menjuarai Piala FA tahun ini, malah seluruh rakyat Malaysia akan senada dengannya kecuali rakyat atau penduduk negeri Johor.

“(Untuk perlawanan akhir Piala FA 2022, saya sokong) Terengganu, sebab saya sokong Terengganu (adalah) isteri saya orang Terengganu, buat masa ini saya belum kahwin dengan orang Johor lagi.

“(Kalau Terengganu FC kalah) saya terima dengan berlapang dada, biasanya orang macam saya sentiasa menyokong pasukan yang dilihat ‘underdog’ dan (saya yakin) semua sokongan rakyat Malaysia akan pergi kepada Terengganu, kalau tak percaya, tunggu,” kata Muhammad Sanusi seperti dilaporkan Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Kedah sempena Sukan Malaysia (SUKMA) di Dewan Seri Mentaloon, di Alor Setar, hari ini.

Semalam, Muhammad Sanusi membuat satu perkongsian video berdurasi 22 saat di laman sosial Facebook miliknya memaparkan beliau sedang menyarung jersi pasukan Terengganu FC dengan kapsyen ‘kasi panas, auto taff’.

Perkongsian itu kemudian mendapat pelbagai reaksi termasuk ada yang menyifatkan ‘umpan’ yang diberikan Menteri Besar Kedah itu mengena
kepada sasaran selain pandai memujuk hati isterinya yang berasal dari Terengganu.

Perlawanan akhir Piala FA 2022 akan berlangsung pada 10 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan TFC akan menentang JDT yang merupakan Juara Liga Super lapan kali berturut-turut.

Dalam aksi separuh akhir sebelum ini JDT membelasah Penang FC dengan jaringan 6-1 manakala TFC menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam waktu sebenar perlawanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here