‘Khairy tidak akan ke Seremban’

0
246

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin dijangka tidak akan menerima pelawaan untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban memandangkan kawasan itu disifatkan sebagai kubu kuat DAP, kata beberapa penganalisis politik.

Beberapa penganalisis politik berkata, walaupun Khairy seorang ahli politik yang sangat popular secara keseluruhan, namun peluang untuk beliau menawan Parlimen Seremban agak sukar memandangkan penyandang kerusi itu ialah Anthony Loke Siew Fook, yang juga seorang ahli politik yang berpengaruh.

James Chin dari University of Tasmania, Australia berkata situasi ini dilihat tidak menyebelahi Khairy dan boleh menyebabkan bekas ketua Pemuda Umno itu tewas sekiranya beliau ingin “mencuba nasib” bertanding di kawasan itu.

“Dia (Khairy) bukan seorang yang bodoh. Dia tahu kemampuan dirinya, dia tidak akan ke Seremban,” kata James Chin. 

“Semua spekulasi ini hanya sekadar cakap kosong,” katanya lapor MalaysiaNow.

Pada 4 Septembar, Khairy  mengesahakan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas diminta memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Susulan ini, Khairy yang menyandang kerusi Parlimen Rembau sejak 2008 mengakui tiada persediaan untuk mencuba nasib di kawasan lain.

Ekoran perkembangan ini, Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin mempelawa Khairy untuk bertanding di Parlimen itu meskipun sebelum ini Seremban kerusi tradisi MCA.

Mengulas mengenai peluang Khairy berdepan dengan Loke, penganalisis politik dari UiTM, Mujibu Abd Muis mengimbas kembali kekalahan Chong Sin Woon, calon MCA yang dipertaruhkan untuk melawan Loke pada 2018.

Beliau berkata, walaupun Chong yang fasih berbahasa Melayu dan dianggap sebagai calon berkebolehan, dia tetap mengalami kekalahan teruk apabila Loke menerima majoriti 30,694 undi.

“Tetapi kalau Khairy, mungkin peluang 50-50,” kata beliau. 

“Tetapi Seremban ialah bandar besar dan merupakan kawasan campuran, jadi Loke mempunyai kelebihan sekiranya kita mengambil kira faktor kawasan.”

Tambah Mujibu, sekiranya Khairy membuat keputusan untuk bertanding di Seremban, ini akan menjadi kerugian buat negara memandangkan kedua-dua mereka disifatkan sebagai ahli politik berkaliber, namun hanya seorang saja yang boleh menang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here