Abdul Azeez kemuka lagi representasi batal tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

0
287


SELEPAS gagal membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sekali lagi mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim berkata representasi terbaharu itu dihantar pada 5 Sept lepas, hari sama Mahkamah Rayuan menolak permohonan  Ahli Parlimen Baling itu untuk membatalkan sembilan pertuduhan dihadapinya.

“Representasi itu telah diterima oleh pendakwaan pada 5 Sept, namun ia masih belum dibawa ke perhatian Peguam Negara.

“Walaupun isu-isu yang dikemukakan dalam representasi itu sama seperti yang terkandung dalam representasi terdahulu, pihaknya perlu mendapatkan arahan daripada Peguam Negara berhubung representasi tersebut,” katanya semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez itu mengesahkan pihaknya telah menghantar representasi  bagi membatalkan sembilan pertuduhan itu susulan dan ia mengandungi fakta sama.

“Saya difahamkan mereka (pendakwaan) masih mengkaji representasi itu. Oleh itu, pihak kami memohon satu tarikh sebutan ditetapkan untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkembangan representasi tersebut. Kami juga bersedia sekiranya mahkamah mahu menetapkan tarikh sambung bicara jika representasi itu tidak diterima,” katanya.

“Saya difahamkan mereka (pendakwaan) masih mengkaji representasi itu. Oleh itu, pihak kami memohon satu tarikh sebutan ditetapkan untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkembangan representasi tersebut. Kami juga bersedia sekiranya mahkamah mahu menetapkan tarikh sambung bicara jika representasi itu tidak diterima,” katanya.

Mahkamah menetapkan 23 Sept ini untuk sebutan kes bagi mengetahui status representasi itu dan akan menetapkan tarikh perbicaraan baharu sekiranya representasi itu ditolak.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Amer Hamzah berkata pihaknya telah mengemukakan representasi itu buat kali kelima.

Pada 5 Sept lepas, Abdul Azeez gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya. 

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menolak rayuan Abdul Azeez untuk membatalkan sembilan pertuduhan selepas memutuskan pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau tidak cacat dan memerintahkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen diteruskan.

Bagaimanapun panel itu membenarkan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji itu bagi membatalkan empat pertuduhan pengubahan wang haram.

Abdul Azeez, 55, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lima buah bank di ibu negara antara 6 Sept 2010 hingga 10 April 2018.

Abdul Azeez dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009  dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi.

Perbicaraan kes itu bermula 19 Ogos 2020 dengan tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

— BERNAMA

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here