Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Penyokong PAS lebih 'serasi' logo bulan - Sanusi -

Penyokong PAS lebih ‘serasi’ logo bulan – Sanusi

KETUA Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Sanusi Md Nor berkata, ramai pengundi dan penyokong parti itu alergi terhadap warna biru Perikatan Nasional (PN), yang disifatkan sebagai “bayang-bayang” kepada warna biru tua Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, tindakan memperbetulkan keadaan itu perlu diambil dengan kembali mempertimbangkan penggunaan logo bulan PAS pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang lebih “serasi” dengan pengundi parti itu khususnya di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang ditadbirnya.

“PAS telah mohon untuk tukar logo sebab warna biru PN banyak orang PAS alergi.

“Orang alergi dengan warna logo PN yang warna sama dengan BN, patutkah kita biarkan perkara itu atau kita ambil tindakan memperbetul keadaan? Jadi (bagi saya) boleh diambil tindakan untuk diperbetulkan (kembali guna logo PAS),” katanya ketika berucap di Muktamar Pemuda PAS Ke-63 malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PAS Kelantan sudah menyatakan hasrat mahu menggunakan simbol bulan dalam PRU15 dan hasrat sama turut disuarakan PAS Terengganu.

“Kalau di tempat lain setuju orang Kedah nak minta pakai logo PAS juga,” katanya lapor FMT.

Sabtu lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman mencadangkan PN menggunakan lambang parti itu pada PRU15.

Ariffin yang juga pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri dilaporkan berkata, cadangan itu dibangkitkan susulan senario politik di Pantai Timur berbeza berbanding di peringkat persekutuan.

Cadangan itu kemudian dipersetujui rakan gabungan mereka, Bersatu Terengganu.

Bagaimanapun, Sanusi mengakui terdapat penolakan daripada rakan komponen PN yang lain kerana mereka sudah pun mencetak bahan kempen PRU15.

“Alasan diberi rakan kita mereka dah cetak bahan kempen…siapa suruh? Adakah kita suruh depa (mereka cetak)? Tak ada,” katanya tanpa merujuk secara khusus mana-mana rakan gabungan.

Sanusi kemudian meminta perwakilan pemuda membawa usul penggunaan bendera PAS pada PRU15 di Muktamar PAS Ke-68 esok untuk dipertimbang kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.

Selain PAS dan Bersatu, PN turut dianggotai Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).