Pas hanya menawarkan kerjasama politik “dangkal” dalam Muafakat Nasional (MN) – Zahid

0
204

PAS hanya menawarkan kerjasama politik yang disifatkan “dangkal” dalam Muafakat Nasional (MN), kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu Zahid berkata, UMNO perlu bergerak ke depan kerana kestabilan, keyakinan dan kerjasama kukuh dalam MN tidak dapat dijalin, lebih-lebih lagi PAS menjalinkan hubungan dengan parti yang secara jelas mahu menghancurkan UMNO dari luar dan dalam.

“Apa yang saya lihat, kerjasama yang PAS sampaikan hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat MN yang sebenar.

“Hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, barulah keikhlasan PAS dapat dilihat,” katanya lapor FMT.

Menurut Zahid, UMNO perlu bergerak ke hadapan dan keputusan untuk bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) hasil sikap PAS sendiri.

“UMNO tak perlu sedu-sedan apabila PAS sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam,” katanya.

Zahid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam, bahawa parti itu tidak pernah mengisytiharkan MN dibubarkan, begitu juga dengan UMNO.

Dua parti Melayu terbesar itu membentuk pakatan berkenaan pada September 2019 sebagai persefahaman pilihan raya dengan matlamat utama menyatukan undi Melayu-Islam.

Namun, pada Disember tahun lalu, PAS menolak gagasan MN jika UMNO enggan menerima Bersatu dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai gagasan itu.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika itu berkata, berdasarkan piagam MN, kedua-dua parti sedia menerima parti lain termasuk Bersatu dan NGO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here