‘Tariklah sokongan jika mahu PRU segera’

0
203

MANA-mana pihak yang mahu Parlimen dibubar lebih awal daripada yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, boleh menarik sokongan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari.

Tanpa menamakan mana-mana parti atau kumpulan beliau berkata pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan adalah hak prerogatif Perdana Menteri.

“Adapun pembubaran Parlimen terpulanglah kepada YAB Perdana Menteri.

“Jika ada yang ingin pembubaran Parlimen lebih awal daripada yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, sudah tentu mereka boleh menarik sokongan ahli-ahli Parlimen mereka,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS dalam satu kenyataan pada Selasa.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Kamarudin Mohd Kasim mencabar Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti itu jika tidak berpuas hati PRU-15 tidak disegerakan.

“Jika betul-betul berani silakan wahai Ahli Parlimen UMNO-Barisan Nasional… tarik sahaja sokongan. Tak memadai “habis suara” kutuk dan kecam Ismail Sabri tetapi akhir semua takut untuk tarik sokongan terhadapnya.

“Di sini baru mereka tahu Ismail Sabri lebih power daripada Presiden yang sedang terpalit dengan 47 tuduhan pecah amanah,” katanya lapor Agenda Daily.

Sejak akhir-akhir ini UMNO menerusi presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memberi tekanan hebat kepada Ismail Sabri supaya mempercepatkan PRU-15, sedangkan penggal Parlimen ke-14 hanya akan berakhir pada Julai 2023 dan pilihan raya boleh diadakan sebelum September tahun depan.

Dalam beberapa siri penerangan, kepemimpinan UMNO tidak henti-henti mendesak supaya Ismail Sabri mengadakan PRU segera, malah penyokong Zahid kini mula menyerang, merendah-rendahkan dan tidak menghormati beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Kemuncaknya pada Taklimat Khas Presiden Sabtu lalu – yang dikaitkan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan memenjarakan Datuk Seri Najib Razak – Ismail Sabri dicemuh setiap kali Zahid menyebut namanya dalam taklimat itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here