Skandal LCS: Abd Latiff buat laporan polis terhadap Rafizi

0
285

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad membuat laporan polis terhadap Rafizi Ramli berhubung tindakan Timbalan Presiden PKR itu mengaitkannya dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Ahli Parlimen Mersing itu percaya bahawa fitnah dan tohmahan berkenaan dicipta untuk merosakkan nama baiknya bagi tujuan politik.

Menurutnya, ini bagi menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap beliau dan menyemarakkan keresahan rakyat.

“Satu laporan polis telah dibuat berkenaan dengan fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh saudara Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR yang mengandungi pembohongan dengan tujuan untuk merosakkan nama baik saya.

“Saya percaya bahawa fitnah dan tohmahan tersebut diciptakan untuk merosakkan nama baik saya untuk tujuan politik dengan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap saya dan menyemarakkan keresahan rakyat.

“Penyiaran dan komunikasi secara elektronik tersebut adalah sumbang, palsu, mengancam dan bersifat jelik untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut dan mengganggu,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini,

Beliau turut berharap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mendakwa Rafizi serta pihak-pihak yang bersubahat melakukan kesalahan terbabit.

Dalam hantaran sama, Abdul Latiff turut memuat naik gambar laporan polis dibuat pegawainya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

Sebelum ini, laporan audit forensik LCS, antara lain menyatakan syarikat pembekal peralatan LCS adalah isteri kepada Dr Abd Latiff yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada 2008 hingga 2013.

Namun Abd Latiff beberapa kali menafikan wanita dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya.

Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga Dr Abd Latiff berpandukan siasatan dalaman skandal itu dan semakan susulan dilakukannya.

Menurutnya, siasatan dalaman LCS mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.

Abd Latiff menyifatkan Rafizi cuba mengelirukan orang ramai apabila terus mengaitkannya dengan isu projek LCS.

Katanya lagi, tindakan itu dapat dilihat melalui laporan audit yang masih di peringkat draf, sedangkan laporan audit didakwanya laporan ‘sebenar’ yang sudah ditandatangani firma audit tidak menyebut Zainab Mohd Salleh sebagai isteri keduanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here