[VIDEO] Harga roti Gardenia naik lagi, pengguna akui terbeban

0
671

PENGGUNA kesal apabila kerajaan membenarkan kenaikan harga roti Gardenia sekali lagi selepas kenaikan pada Disember tahun lalu.

Tinjauan SatuBerita di sekitar Eco Grandeur Bandar Puncak Alam, mendapati rata-rata pengguna tidak senang dengan berita kenaikan harga produk tersebut yang menjadi asas kepada diet harian.

Hanya mahu dikenali sebagai Fatehah, 22, berkata rakyat akan ‘terasa’ akibat kenaikan harga makanan harian itu.

“Sesetengah orang akan rasa kenaikan ini sikit, tetapi untuk kita rakyat biasa akan ‘effected’ (terkesan).

“Sebelum ini naik harga pun saya dah rasa mahal, sekarang mahu naik lagi memang bertambah mahal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat pihak kerajaan perlu mendengar dan meneliti semula harga barang makanan runcit harian.

“Kerajaan perlu dengar keluhan warga B40 ini dan teliti semula harga barang sebab tak semua orang mampu. Sekiranya boleh, selaraskan harga roti semua jenama.

“Bagaimana kenaikan ini boleh berlaku sebab baharu naik Disember tahun lalu. Rakyat kini sedang berdepan situasi sukar, kenapa perlu tambah bebanan lagi,” katanya.

Fatehah, 22, seorang pelajar di sebuah Universiti tempatan.

Di samping itu, Azhar Basrah, 59 menyifatkan kenaikan harga tersebut tidak wajar dinaikkan terlalu tinggi kerana roti sebahagian daripada makanan asas rakyat negara ini.

“Tahun lepas sudah naik atas faktor gandum disebabkan peperangan Rusia dan Ukraine. Sekarang kenapa naikkan harga lagi?

“Tak adil untuk saya, kalau naik 10 sen bolehlah, ini naik 20 sen hingga 50 sen mungkin tinggi sangat,” katanya yang juga seorang pesara Tentera Darat Malaysia (TDM).

Azhar Basrah, 59, pesara Tentera Darat Malaysia.

Muhammad Haiqal, 22, terkejut dengan berita kenaikan harga roti itu yang naik lagi dalam masa yang sangat singkat.

“Sebelum ni dah naik 20 sen, sekarang naik lagi? Di kedai, roti ini memang ‘licin’, laju orang ambil.

“Sekarang ini kena pandai ‘manage’ (mengurus) perbelanjaan. Sebelum ke pasar perlu buat kira-kira sebab sekarang banyak harga barang naik,” katanya.

Ummi Dania, 24, berkata roti tersebut menjadi santapan pagi setiap hari namun disebabkan peningkatan harga itu, beliau perlu memikirkan semula pelan pemakanan harian.

“Orang kalau lapar akan ambil langkah mudah makan roti, murah. Terutamanya pelajar sekolah. Sekarang harga dah naik, baik beli nasi lemak RM3.

“Kebiasaannya saya beli roti ni sekali seminggu tetapi sekarang mungkin kena terus masak nasi,” jelasnya.

Selain itu, seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Jaja, 26, merasakan harga roti Gardenia yang bakal dinaikkan, tidak berbaloi untuk dibeli dan bersedia untuk bertukar ke jenama lebih murah.

Terdahulu, media melaporkan pelbagai produk keluaran Gardenia seperti sebuku roti ‘Original Classic’, siri roti ‘Toast Em’ dan roti krim gulung akan mengalami peningkatan harga sehingga 50 sen bermula 1 September. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here