Pakai lima lapis krim ‘lindungi’ kulit setiap hari-Ustaz Kazim

0
260

PENCERAMAH terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias mendedahkan terpaksa memakai lima lapisan krim pelindung termasuk solekan asas (foundation) yang tebal setiap hari bagi mengembalikan keyakinan bertemu orang ramai susulan keadaan penyakitnya sekarang.

“Pada waktu ini penyakit yang menyerang kulit di bahagian kaki serta badan sudah beransur pulih namun kini merebak ke bahagian muka menyebabkan saya kadangkala terpaksa menutup sebahagian besar mukanya ketika menghadiri beberapa majlis ilmu sejak kebelakangan ini.

“Jadi memang kalau orang jumpa saya di sebelah siang memang akan nampak elok sahaja kulit muka saya sebab pakai ‘foundation’.

“Semasa waktu siang saya tidak boleh terdedah lama kepada cahaya matahari secara terus atau ia akan menjejaskan rawatan saya dan begitu juga waktu malam apabila cahaya lampu turut menjejaskan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pusat Dakwa PERKIM dan Rumah Ngaji Darul Sakinah di Kampung Paya, Batu Kurau, di Taping hari ini.

Mohd. Kazim perlu memastikan proses pigmentasi kulit terus berjalan agar kulitnya tidak mati.

“Sebab itu selain memakai topeng (kelubung mula), saya juga memakai krim khsusnya ketika aktiviti luar seperti ceramah,” katanya sebagaimana dilaporkan Berita Harian.

Mengulas lanjut, Kazim berkata, beliau akan ke sebuah negara Arab di Timur Tengah pada awal September ini bagi menjalani rawatan pakar yang dijangka mengambil waktu selama lima hari di sana.

Katanya, sepanjang tempoh penyakit misteri yang menyerangnya pada waktu ini, hampir 800 individu daripada pelbagai pusat rawatan tampil menawarkan bantuan bagi merawatnya.

Malah, beliau turut berkongsi fenomena misteri yang dialaminya adalah timbulnya secara tiba-tiba kesan garisan luka yang seterusnya mengakibatkan pendarahan pada anggota badannya seakan kerana dicakar ketika mahu mengerjakan solat Asar.

“Dalam tempoh saya sakit ini, hampir 800 pusat rawatan serta individu datang hendak merawat saya cuma tidaklah saya dapat menerima tawaran (bantuan) daripada semuanya.

“Alhamdulillah bahagian kaki dan badan semua sudah cantik dan (luka) kering, cuma sekarang dia (penyakit) sudah beralih pergi ke bahagian muka. Kalau badan atau kaki boleh juga saya tutup (sorok) tetapi macam mana dengan muka,” soalnya.

Sementara dalam perkembangan berkaitan, Kazim juga menyangkal kekeliruan dan salah faham yang mungkin timbul apabila beliau sebelum ini sering dikaitkan dengan penolakan terhadap kaedah perubatan moden sebaliknya hanya bergantung kepada kaedah perubatan Islam tradisional.

Beliau tidak bermaksud mengatakan kaedah perubatan moden perlu diketepikan dengan mengamalkan kaedah perubatan Islam terutama berasaskan makanan sunnah, sebaliknya dua kaedah perawatan itu perlu seiring.

“Rawatan sakit jantung serta diabetes yang saya alami sejak lebih 20 tahun lalu banyak yang perlu dirujuk kepada hospital (perubatan moden) termasuk rawatan (sakit kulit) saya ketika ini. Jadi kalau ada yang mengatakan saya menolak langsung perubatan moden maka itu tidak benar.

“Saya juga tidak pernah menjalani pembedahan batin sebaliknya penyakit saya sebelum ini menuntut saya perlu merujuk kepada doktor di hospital setiap bulan. Jadi, apa yang saya maksudkan adalah jangan diketepikam rawatan sunnah di samping kita jalani rawatan moden.

“Sampai ada orang tertanya tanya mengapa saya masih boleh merantau merata-merata untuk berceramah hampir setiap hari walaupun dilanda penyakit. Saya jawab mungkin ada amalan perubatan Islam seperti ‘makanan sunnah’ yang membuatkan ‘keajaiban’ sedemikian,” katanya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial beberapa gambar dan rakaman video menunjukkan Ustaz Kazim mengenakan topi yang mempunyai kain penutup muka yang biasa digunakan untuk aktiviti riadah seperti memancing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here