Wujudkan pusat sehenti tingkat kecekapan salur bantuan, elak penerima layak tercicir

0
269

KERAJAAN disaran mewujudkan pusat sehenti mengurus dan meningkatkan kecekapan proses penyaluran bantuan kepada penerima yang layak.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bukan sahaja dapat mengoptimumkan sumber kewangan kerajaan tetapi memastikan tiada rakyat tercicir daripada mendapatkan bantuan.

“Agensi ini boleh mengambil model Centrelink yang dilaksanakan di Australia dalam mengurus penyaluran bantuan kepada penerima yang layak.

“Suatu sistem semakan kelayakan penerima bantuan dan penyaluran bantuan yang cekap, cepat dan seragam boleh diwujudkan untuk memastikan tiada pertindihan penerima bantuan dan tiada seorang pun yang layak menerima bantuan tercicir daripada menerimanya,” katanya ketika merasmikan Konvensyen PN 2022 di Serdang pada Sabtu.

Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Pengerusi PN – iaitu Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Law, dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Muhyiddin berkata, kerajaan membelanjakan lebih RM 70 bilion setahun dalam bentuk subsidi dan jumlah ini kian meningkat saban tahun dan tidak mapan untuk jangkamasa yang panjang.

“Justeru, suatu bentuk penyaluran subsidi yang lebih bersasar perlu diwujudkan untuk memastikan subsidi kerajaan dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan, tiada ketirisan dan tiada seorang pun yang ketinggalan.

“Menerusi penyaluran subsidi yang lebih bersasar, sistem bantuan rakyat yang lebih seragam dan pengurusan kewangan kerajaan yang lebih optima, beberapa bentuk bantuan baharu juga boleh diwujudkan.

“Misalnya, bantuan sewa rumah kepada kumpulan miskin bandar untuk memastikan setiap individu dan keluarga di negara ini mempunyai tempat untuk berteduh di samping mengatasi masalah gelandangan.

“Selain itu, bantuan penjagaan anak atau child care juga boleh diberikan kepada isirumah berpendapatan rendah atau ibu tunggal untuk membolehkan golongan wanita yang mempunyai anak kecil keluar bekerja bagi meningkatkan pendapatan.

“Selain itu, pelbagai bentuk bantuan yang penting dalam menjamin kesejahteraan hidup rakyat seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran khususnya untuk golongan muda yang sedang mencari pekerjaan juga mesti diberikan keutamaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here