[VIDEO] Saya tidak tunduk dengan gangguan politik, tidak gadai prinsip integriti – Muhyiddin

BIARPUN digasak dengan gangguan politik ke atas beliau ketika menyandang jawatan Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau tidak pernah tunduk dengan tekanan sedemikian.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin menjelaskan bahawa beliau turut tidak pernah menggadaikan prinsip integriti semata-mata untuk memuaskan hati pihak yang mendesak.

Katanya, beliau teguh dengan perkara itu kerana tahu ia satu perbuatan yang salah.

“Saya tidak perlu mengulas panjang mengenai gangguan-gangguan politik atau pengkhianatan politik terhadap saya dan Kerajaan PN sebelum ini. 

“Cukuplah saya katakan bahawa gangguan-gangguan ini berlaku semata-mata kerana saya selaku Perdana Menteri pada waktu itu tidak mahu tunduk kepada kehendak beberapa pihak yang sekiranya saya layan, saya terpaksa menggadaikan prinsip integriti semata-mata untuk mengekalkan kuasa.

“Saya tidak mahu memilih jalan itu kerana saya tahu itu adalah jalan yang salah,” katanya dalam ucap tama Konvensyen Perikatan Nasional (PN) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) pada Sabtu.

Terdahulu, Muhyiddin tidak menafikan wujud banyak gangguan politik sepanjang menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, menurut Muhyiddin lagi, beliau menegaskan bahawa dirinya menepis perkara itu demi meletakkan fokus terhadap usaha-usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat daripada ancaman Covid-19.

Selain itu, katanya, beliau tidak tunduk dengan desakan dan menggadaikan prinsip integriti juga untuk membantu mereka meringankan beban kehidupan yang amat sukar pada ketika itu.— SB