Pasukan siasatan kes SRC difitnah, diugut dan ditawar habuan – Bahri

0
226

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak membuktikan kerajaan tidak campur tangan dalam sistem perundangan negara.

Memetik laporan Berita Harian, Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohammad Zin berkata, ia menutup terus ruang yang boleh dimanipulasi sesetengah pihak bahawa bekas Perdana Menteri itu akan ‘diselamatkan’ oleh kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN).

“Kerajaan kita diketuai pemimpin daripada BN yang berjaya menutup terus tanggapan kononnya ada campur tangan kerajaan dalam kes itu, sekali gus melambangkan sistem kehakiman kita benar-benar bebas walaupun membabitkan kes berprofil tinggi dan sensitif seperti ini.

“Saya menyambut baik ketegasan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam mengekalkan sabitan terhadap kes SRC,” katanya kepada BH.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, Ahli Parlimen Pekan itu dibawa ke Penjara Kajang, petang semalam, bagi menjalani hukuman terbabit.

Bahri memainkan peranan utama sebelum ini dalam siasatan kes SRC pada 2015 sebelum ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau yang memegang jawatan Pengarah BOK Khas sejak 16 Jun 2014 bersara awal berkuat kuasa 30 Disember 2016 berikutan keengganan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengeluarkan izin mendakwa ke atas sasaran kes berkenaan.

Bagaimanapun, Bahri kembali kepada SPRM pada Mei 2018 bagi membantu menyambung semula penyiasatan kertas siasatan kes SRC.

Pada masa sama, mengimbau kembali pengalaman siasatan kes SRC itu, Bahri berkata, paling tidak boleh dilupakannya apabila pasukannya difitnah, diugut dan ditawarkan habuan bagi menghentikan tugasan mereka.

“Paling tidak boleh saya lupakan ialah apabila Timbalan Pendakwa Raya SPRM dan beberapa pegawai BOK ditahan sebelum difitnah.

“Saya pernah berasa ‘keseorangan’ ketika anak buah saya dianiaya dan saya sendiri ditukarkan ke JPM ketika itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here