“Kalau Bersatu tidak tarik diri dari PH, UMNO tiada dalam kerajaan hari ini” – Tuan Ibrahim

0
923

UMNO perlu sedar keberadaan parti itu dalam kerajaan pada waktu ini disebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga tumbang.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, jika Bersatu tidak menarik sokongan, Pas dan UMNO pada waktu ini masih lagi berada dalam blok pembangkang.

UMNO, tegas beliau, perlu mengingati jasa Bersatu yang membolehkan Pas dan UMNO menjadi parti yang berada dalam kerajaan ketika ini.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim lapor Astro AWANI mengingatkan, sekiranya gagasan Muafakat Nasional (MN) berhasrat bergerak solo, maka Pas bersedia untuk menghadapi pertarungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, beliau masih meletakkan harapan agar perbezaan pendapat antara Pas dan UMNO dapat dibawa ke meja rundingan dalam konteks mengukuhkan perpaduan orang Melayu.

“(Pada masa ini) banyak sangat parti (politik) Melayu… akhirnya kekuatan kita makin lemah, sebab itu bagi Pas kami bersama PN (Perikatan Nasional),” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan projek pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Gerak Wira, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Tuan Ibrahim mempersoalkan tindakan UMNO yang ingin menyisihkan Bersatu selepas Pas menyertai PN.

Tegas Tuan Ibrahim, tindakan tersebut tidak kena dalam adat persahabatan.

Jelasnya, hayat MN masih ada, bahkan, platform penyatuan ummah itu wajar dipertahankan.

Namun begitu, beliau berkata, ikatan MN longgar, namun, masih bertahan tanpa ada perbincangan bersama pimpinan UMNO dan Pas sejak sekian lama.

Pas, ujar Tuan Ibrahim, masih mengharapkan hubungan MN dapat dipertahankan sehingga PRU15. Ini kerana, tambahnya, pertembungan sesama sendiri tidak menguntungkan dan menyebabkan umat Melayu-Islam berpecah.

Tuan Ibrahim berkata, terdapat 27 kerusi Parlimen yang agak kritikal tidak dimenangi sama ada oleh Pas ataupun Barisan Nasional (BN) yang memerlukan perundingan bersama PN dan juga BN

Beliau turut mengulangi pendirian Pas yang kekal utuh mempertahankan MN dan PN.

Namun, kata Tuan Ibrahim, sekiranya UMNO bertegas untuk melawan Pas pada pilihan raya umum akan datang, parti itu tiada pilihan lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here