“Bukti badan kehakiman tak ikut telunjuk politik’’ – Anwar

0
286

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, membuktikan badan kehakiman negara bebas tanpa dipengaruhi pihak berkuasa dalam politik.

Beliau berkata, keputusan dibuat mengikut fakta itu membolehkan negara bersih daripada rasuah.

“Keputusan ini menunjukkan pendakwaan yang profesional dan ketegasan serta keberanian badan kehakiman membuat keputusan mengikut fakta dan hukum.

“Ini bukti badan kehakiman tidak mengikut telunjuk politik dan pihak berkuasa, yang kita alami selama puluhan tahun,” katanya dalam rakaman video berdurasi satu minit 35 saat, malam ini, lapor Berita Harian.

Hari ini Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, dengan keputusan itu beliau merasa lega.

“Sekarang ada perasaan lega, saya nak ucap penghargaan kepada hakim yang berani dan berwibawa tunduk kepada fakta dan hukum bukan tunduk kepada kuasa politik.

“Tapi ingatlah, (apabila) rakyat memutuskan dengan bijak termasuk anak muda menentukan masa depan mereka, maka suasana dan iklim politik boleh berubah,” katanya.

Sementara itu Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, keputusan Mahkamah Persektuan itu berlaku hanya disebabkan perubahan politik pada Mei 2018 dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangannya, Nizam Mahshar, berkata kes SRC International antara kes melibatkan Najib dan dalam masa sama berkata masih banyak lagi kes penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pecah amanah yang belum dibongkar untuk disiasat.

“Keputusan hari ini juga membuktikan dengan jelas bahawa kepimpinan politik Melayu juga harus melakukan perubahan mendasar. Politik Melayu hari ini sudah seperti disinonimkan dengan politik rasuah, politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

“Sehingga hari ini, pemimpin-pemimpin politik UMNO masih cuba menegakkan pemimpin yang mereka yang korup dan menyalahgunakan kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Nizam turut berkata, setiap undi merupakan langkah kecil rakyat untuk ”menghantar mereka yang menyeleweng dan menjarah harta rakyat ke penjara”.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini harus menjadi peringatan untuk kita terus melakukan kerja-kerja pembetulan demi mengembalikan negara serta etika dan moral rakyatnya ke landasan yang betul,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here