Kes pecah amanah Syed Saddiq: RM 1 juta jumlah terbesar keluar daripada akaun Armada

0
335

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa diberitahu, wang RM1 juta yang dinyatakan dalam pertuduhan pecah amanah terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan nilai terbesar yang pernah dikeluarkan daripada akaun milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Rafiq Hakim Razali berkata, wang tersebut dikeluarkan pada 6 Mac 2020 atas arahan Ahli Parlimen Muar itu yang mahukan ia `dilupuskan’ selepas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berhubung kehilangan wang RM250,000 daripada peti besi di rumahnya.

Rafiq yang ketika itu berjawatan Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu, Syed Saddiq mengarahkan demikian kerana selaku bendahari dan pemegang amanah, beliau merupakan sasaran selanjutnya.

Ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, Rafiq bersetuju tertuduh tidak pernah menghasutnya mengeluarkan wang RM1 juta daripada akaun CIMB milik Armada.

Saksi pendakwaan ke-13 itu bagaimanapun tidak bersetuju bahawa beliau berpakat secara jahat dengan Syed Saddiq mengeluarkan wang itu sebaliknya menyatakan ia arahan tertuduh.

Dalam keterangannya, Rafiq turut menyatakan wang RM1 juta itu digunakan untuk melaksanakan program-program Armada dan sayap parti Bersatu itu tidak mengalami kerugian meskipun berlaku pengurangan wang dalam akaunnya.

Menurut Rafiq, beliau tidak pernah menerima arahan untuk membentangkan perbelanjaan Armada kepada mesyuarat Exco.

Pada prosiding soal balas itu, Rafiq menyatakan beliau baharu mengetahui bahawa sebanyak RM170,000 dibelanjakan untuk kempen pilihan raya Syed Saddiq di Muar.

“Wang RM170,000 untuk kegunaan kempen di Muar, saya tidak tahu kemana perginya wang tersebut. Saya cuma pindahkan ke dalam akaun beliau,” ujar saksi memetik laporan Kosmo!

Sementara itu, pada sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Rafiq diminta menjelaskan keterangannya sebelum ini bahawa beliau `terjebak’ berhubung pengeluaran wang RM1 juta itu.

Saksi memberitahu selaku salah seorang pemegang amanah, beliau `terjebak’ kerana membuat pengeluaran tanpa memaklumkannya kepada kepimpinan tertinggi atau mengemukakan kertas kerja mengenainya.

Ujar Rafiq, beliau juga tidak mengemukakan nota keterangan atau membuat laporan polis kerana berpendapat tindakan mengeluarkan wang itu satu kesalahan pecah amanah dan khuatir akan dikesan oleh pihak polis.

Dalam keterangannya, Rafiq menafikan beliau `diajar’ oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan di mahkamah pada perbicaraan tersebut.

Sebelum mahkamah selesai bersidang, Gobind memohon agar tiga pegawai penyiasat SPRM dipanggil semula untuk diperiksa balas pada tarikh perbicaraan akan datang.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan keterangan mereka didengar selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 September ini.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis selewat-lewatnya pada 30 September manakala penghujahan lisan didengar pada 6 dan 7 Oktober ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here