LCS: ‘’Sila laksanakan’, tulisan tangan Zahid pada surat niat BNS

0
286

TINDAKAN Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi pada minggu lalu menafikan penglibatan beliau dalam enam kapal peronda generasi kedua, kapal tempur pesisir (LCS) mula menjadi persoalan.

Ia berikutan dokumen yang dinyahklasifikasi oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) hari ini mendedahkan tulisan tangan beliau kepada Setiausaha Bahagian (SUB) Perolehan pada surat niat BNS yang berbunyi ‘Sila laksanakan’.

Minggu lalu, Zahid berkata adalah ‘tidak wajar’ untuk menyalahkannya atas kegagalan perolehan LCS kerana projek itu diberikan selepas tempohnya sebagai menteri pertahanan berakhir pada 2013.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan JKSTUPKK jelas menunjukkan Zahid terbabit pada peringkat awal projek itu.

Surat anugerah berkenaan dikeluarkan pada 2011, walaupun kontrak itu hanya ditandatangani pada 2014.

Surat niat (LOI) daripada BNS itu ditandatangani Laksamana Madya (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor yang juga Pengarah Urusan BNS ketika itu. LOI diperlukan oleh BNS untuk meyakinkan pengeluar peralatan asal bahawa projek itu mendapat mandat dan restu dari kerajaan.

Ahmad Ramli yang juga bekas panglima tentera laut, dalam surat itu berkata bahawa syarikat berkenaan telah merancang projek LCS selama dua tahun.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan dalam memorandum kepada Zahid pada 2 Ogos tahun itu menyatakan kos perolehan LCS adalah tinggi, oleh itu perlu pertimbangan mengenai keutamaan negara dan kapasiti sumber, dan kos projek perlu ditentukan sebelum LOI dikeluarkan.

Pada 11 Oktober, Unit Perancang Ekonomi (EPU) menulis kepada Kementerian Pertahanan meminta menangguhkan pengeluaran LOI, hingga harga siling bagi projek bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dapat diatur semula.

Bagaimanapun, EPU kemudiannya bersetuju kepada rayuan oleh Kementerian Pertahanan untuk mengeluarkan LOI kepada BNS.

Pada 15 Oktober, Kementerian Pertahanan mengeluarkan LOI kepada BNS, yang menyatakan bahawa perbincangan lanjut antara menteri dan syarikat perlu diadakan mengenai beberapa perkara termasuk terma teknikal dan harga.

Kemudian pada 11 Februari 2011, Kementerian Pertahanan meminta kebenaran daripada Kementerian Kewangan supaya perolehan dilakukan secara rundingan terus dengan BNS.

Menurut laporan itu, BNS sebenarnya telah cuba mendapatkan LOI daripada kerajaan sejak 2007 selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Sama seperti Zahid, Kementerian Pertahanan di bawah teraju Najib juga pada 15 Januari 2008 meminta Kementerian Kewangan mengeluarkan LOI kepada BNS.

Tidak jelas mengapa permintaan LOI tidak diluluskan, tetapi laporan itu menyatakan bahawa BNS terus membabitkan Najib, walaupun beliau  kemudian bertukar portfolio kepada Kementerian Kewangan dan selepas itu menjadi perdana menteri hingga Jun 2009.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here