Empat pemancing terselamat selepas bot terbalik

0
225

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

EMPAT pemancing warga tempatan terselamat selepas bot yang dinaiki terbalik di perairan Pulau Tengah, Mersing, semalam.

Pusat Operasi Zon Maritim Mersing menerima aduan daripada pengurus resort memaklumkan terdapat empat pemancing warga tempatan terkandas di pulau itu kerana bot yang dinaiki terbalik akibat cuaca buruk.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, sejurus menerima maklumat itu, bot Perkasa 44 dari Zon Maritim Mersing telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan sewajarnya.

“Semasa bot mereka terbalik, semua mangsa memakai jaket keselamatan. Mereka berenang ke persisir pantai yang berada tidak jauh dari bot terbalik ke kawasan resort sebelum dibantu beberapa pelancong lain yang berada di situ.

“Mangsa, Faizal Dollah, 43, Mohamad Fairuz Daron, 35, Mohd Rizal Hassan, 34, Mohamad Asyraf Ali, 33 yang semuanya berasal dari Mersing ditemui selamat serta tiada kecedaraan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa seterusnya dibawa ke jeti maritim di Teluk Gading dekat sini untuk pemeriksaan kesihatan.

Beliau mengingatkan masyarakat maritim supaya mengutamakan keselamatan terutama ketika keadaan laut bergelora dan cuaca yang tidak menentu.

Katanya, tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan dan mengamalkan langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Located Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak maritim mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan.

Sebarang kecemasan dan aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here