20 pelanggan hampir maut gerai terbakar selepas dihempap pokok

0
262

SERAMAI 20 orang pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah gerai mi celup nyaris maut apabila sebatang pokok kelampayan yang sedang ditebang tumbang menghempap premis tersebut sebelum terbakar di Kampung Kala Baru, Gua Musang, pada Khamis.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dialami pemilik dan pelanggan di gerai tersebut dalam kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari.

Seorang saksi, Mohd. Noor Pa’su, 66, berkata, ketika kejadian, dia bersama pelanggan lain sedang minum dan makan mi celup di gerai tersebut.

Katanya, semasa kejadian, mereka tahu seorang penduduk kampung sedang melakukan kerja penebangan pokok kelampayan berusia 30 tahun yang terletak di belakang gerai.

“Saya dan pelanggan lain berlari keluar dari kedai terbabit selepas mendengar dentuman pokok tumbang yang menghempap bahagian dapur gerai.

“Tidak lama kemudian, api dapur tiba-tiba berasap dan membakar seluruh bahagian gerai. Saya sempat menjerit kepada pelanggan lain untuk mengalihkan beberapa buah motosikal dan kereta yang diparkir di kawasan berhampiran,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!

Suami kepada pemilik kedai, Harun Che Tengah, 57, berkata, semasa kejadian, isterinya Asmah Muhammad, 37, sedang berniaga mi celup di gerai tersebut.

“Pokok kelampayan setinggi 20 meter itu terletak di belakang kedai. Ia terpaksa ditebang kerana bimbang akan menghempap gerai sekiranya berlaku kejadian ribut dan hujan lebat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan pada pukul 12.39 tengah hari dan seramai 10 anggota dengan dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian yang terletak 30 kilometer dari Balai Bomba Gua Musang. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here