PM perlu temui delegasi rasmi PN, bukan sekadar makan tengah hari – Rina Harun

0
231

PERTEMUAN membabitkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendaharinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang berlangsung pada 4 Ogos lalu bukan pertemuan rasmi delegasi pakatan itu.

Ketua Serikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun, sependapat dengan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang menyifatkan pertemuan antara ketiga mereka itu, bukan perjumpaan rasmi.

Rina menegaskan, pertemuan itu sepatutnya berlangsung membabitkan wakil rasmi yang diputuskan PN iaitu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Bendahari PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya kira sebenarnya perjumpaan kita (PN) dalam parti sudah memutuskan perjumpaan itu diwakili keempat-empat mereka yang telahpun disebut sebagai wakil rasmi.

“Jadi, jika itu yang diputuskan dalam parti, saya kira itulah wakil rasmi Bersatu untuk berjumpa dengan Perdana Menteri untuk membincangkan hal berkaitan PN dan Bersatu,” katanya, lapor Astro AWANI.

Beliau berkata demikian pada sidang media mesyuarat exco Srikandi di ibu pejabat Bersatu dekat Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Titiwangsa ini juga menjelaskan pertemuan membabitkan menteri daripada kalangan menteri PN yang lain, tidak mewakili delegasi rasmi yang telah terlebih dahulu ditetapkan parti.

“Yang lain-lain itu kalau ada perjumpaan, mungkin sebab mereka adalah menteri. Takkanlah kalau saya (sebagai menteri) berjumpa dengan Perdana Menteri maka saya dikatakan mewakili parti kepada isu ini, sedangkan mandat diberi kepada mereka yang diputuskan PN sebagai wakil ramai,” katanya.

Sebelum ini, Wan Saiful menyifatkan pertemuan Hamzah dan Ahmad Samsuri dengan Perdana Menteri kira-kira dua minggu lalu adalah makan tengahari biasa dan bukan perjumpaan rasmi delegasi PN.

Untuk rekod pada 13 Ogos lalu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan bersama delegasi PN pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, ia tidak dapat dipastikan sekiranya keempat-empat wakil rasmi PN itu hadir dalam pertemuan makan tengah hari berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here