11 individu disabitkan kesalahan rogol berkumpulan pada 2002 dibebaskan

0
236

SEBELAS orang lelaki Hindu yang dipenjara seumur hidup atas kesalahan merogol seorang wanita Islam yang hamil beramai-ramai ketika rusuhan Hindu-Muslim pada 2002 telah dibebaskan dengan pengampunan, kata pegawai semalam.

Keputusan itu mengundang kecaman daripada suami mangsa, peguam dan ahli politik.

Kesemua mereka disabitkan hukuman atas kesalahan itu pada awal 2008 dan dibebaskan dari penjara di Panchmahals di negeri barat Gujarat Isnin lalu, ketika India meraikan ulang tahun ke- 75 kemerdekaan sejak berakhirnya pemerintahan British.

Birokrat tertinggi Panchmahals memberitahu Reuters, jawatankuasa penasihat penjara daerah telah mengesyorkan pembebasan itu selepas mempertimbangkan kesemua pesalah berkelakuan baik di penjara.

“Mereka telah menghabiskan hampir 15 tahun masa di penjara dan layak untuk pengampunan,” kata Sujal Jayantibhai Mayatra.

Undang-undang India membenarkan banduan mendapat pengampunan selepas 14 tahun dipenjarakan, kata pegawai kerajaan.

Rakaman media menunjukkan seorang lelaki memberikan manisan kepada banduan di luar penjara selepas menyentuh kaki salah seorang daripada mereka, sebagai tanda penghormatan.

Sementara itu, suami mangsa, Yakub Rasul, memberitahu Reuters, mereka kecewa kerana rusuhan itu turut mengorbankan ramai ahli keluarga yang lain.

“Kami kehilangan keluarga dan ingin hidup aman, tetapi tiba-tiba ini berlaku.

“Kami tidak mempunyai maklumat awal mengenai pembebasan mereka, sama ada daripada mahkamah atau kerajaan. Kami hanya mengetahuinya daripada media,” katanya.

Ahli politik dan peguam pembangkang berkata, pembebasan itu bercanggah dengan dasar kerajaan untuk menaikkan taraf wanita di negara yang terkenal dengan keganasan terhadap golongan berkenaan.

“Pengampunan hukuman terhadap banduan jenayah ngeri seperti rogol berkumpulan dan pembunuhan adalah tidak wajar dari segi moral dan etika.

“Apakah isyarat yang disampaikan kepada kami?” kata peguam kanan, Anand Yagnik.

Untuk rekod, keganasan di Gujarat, salah satu rusuhan agama paling teruk di India menyebabkan kematian lebih 1,000 orang kebanyakannya beragama Islam.

Gujarat kemudiannya dipimpin oleh Perdana Menteri India ketika Narendra Modi memegang jawatan Ketua Menteri, dan parti nasionalis Hindunya Bharatiya Janata masih memerintah. – REUTERS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here