[VIDEO] Tren sesak, tren penuh: Sampai bila terus berlarutan?

0
1338

MESKIPUN masalah perkhidmatan tren lambat, penuh khususnya membabitkan Transit Aliran Ringan (LRT) sering dibangkitkan pengguna menerusi media sosial, isu tersebut terus berlaku ibarat tiada kesudahan.

Selain tren penuh, stesen padat ketika waktu puncak, masalah perkhidmatan yang tidak mematuhi jadual disediakan sering dibangkitkan pengguna.

Tinjauan SatuBerita di media sosial pada Isnin, beberapa pengguna berkongsi masalah kelewatan tren yang menyukarkan mereka untuk tiba di destinasi.

Pengguna Facebook, Jefri Adam Cheah berkongsi pengalaman dengan menyatakan bahawa dia terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan pengangkutan awam itu.

“Hari Isnin, orang kurang tetapi kenapa kena tunggu sehingga 10 minit di stesen Sri Rampai?” katanya.

Bagi pengguna Tracy Teoh JW, dia turut melihat tren tidak bergerak pada waktu yang ditetapkan apabila dia terpaksa menunggu dengan lama.

“Hello, perkhidmatan laluan Kelana Jaya ini berhenti setiap 5 minit atau 15 minit? Tolong lah, ini kan waktu puncak,” katanya.

Perkara ini menimbulkan kemarahan dan kekecewaan apabila pihak berkuasa memaklumkan isu yang dihadapi hanya akan meningkatkan waktu menunggu bagi Laluan Kelana Jaya kepada 5 minit berbanding 3 minit waktu kebiasaan.

Hal ini turut dihadapi pengguna, Siti Khadijah Md Zin yang melihat waktu menunggu sudah berada di tahap yang sukar diterima.

“Dah lebih 20 minit menunggu untuk monorel di platform 2 stesen Hang Tuah. Nak marah, tapi kena sabar,” ujarnya, ringkas.

Pengguna @am_syaham menunjukkan stesen LRT dipenuhi pengguna berikutan frekuensi tren yang tidak sistematik

Isu ini turut disuarakan menerusi Twitter apabila @am_syaham berkongsi gambar yang menunjukkan stesen LRT Taman Melati dipenuhi pengguna.

“Sepatutnya dah kena sampai tren ni. Tapi, mana pergi semua tren? Tren menghala ke Gombak sahaja yang banyak,” katanya.

Selain itu, @kekandaEppiey turut berkongsi kekecewaanya apabila kekerapan tren yang rendah pada waktu puncak di stesen Putra Heights mengakibatkan kesesakan.

“Pengumuman kata 5 minit frekuensi tren, tetapi apa hal ni?” katanya sambil berkongsi foto yang menunjukkan papan eletronik memaparkan tren mengambil masa 11 minit untuk tiba.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here