Bekas pegawai kanan BNS dijangka didakwa esok isu LCS

0
270

SEORANG bekas pegawai kanan di syarikat pembuat kapal, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes kontroversi itu, esok.

Menurut laporan BH Online, sumber berkata individu itu akan didakwa dengan pertuduhan pecah amanah membabitkan kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sepatutnya dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kes itu menjadi perhatian umum selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati lima kapal yang ditempah pada 2013 gagal disiapkan sehingga sekarang walaupun RM6 bilion sudah dibayar.

Jemaah menteri kemudian mengarahkan supaya siasatan mengenainya disegerakan manakala Pejabat Peguam Negara (AGC) akan membuat keputusan secepat mungkin berhubung kes perolehan LCS, membabitkan peruntukan RM9.128 bilion.

“AGC akan buat keputusan `ASAP’ (secepat mungkin), please bear with us (minta bersabar),” kata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Khamis lalu, SPRM dalam satu kenyataan menyebut, pihaknya sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

Suruhanjaya itu juga memaklumkan, ia sudah melengkapkan kertas siasatan membabitkan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu,” katanya.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan RM9 bilion bagi tempoh bermula 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya sebelum ini menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here