Peserta himpunan protes LCS tolak penjelasan, mahu jawapan dana RM6 bilon

0
294

PENGERUSI Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Sabah, Shahrizal Denci berkata, dana RM6 bilion yang disalurkan kerajaan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk projek kapal tempur pesisir (LCS) boleh digunakan untuk membina ratusan jambatan di pedalaman Sabah.

Berucap di hadapan kira-kira 200 orang yang berhimpun dalam protes Mana Kapal LCS di Pusat Beli Belah Sogo di Kuala Lumpur, hari ini, Shahrizal berkata, dana itu dapat membantu murid di Sabah yang dilaporkan menempuhi laluan sukar untuk ke sekolah kerana tiada jambatan.

“Skandal LCS bukan isu Lembah Klang saja. Berapa banyak jambatan, berapa banyak jalan boleh dibina di Sabah dengan RM6 bilion?

“Hari ini saya terbang dari Sabah untuk sertai himpunan ini, untuk mendesak jawapan daripada kerajaan dalam hal keselamatan negara,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Shahrizal berkata demikian ketika menolak penjelasan BNS berhubung perkembangan projek LCS yang gagal disiapkan mengikut masa ditetapkan.

Mereka berhimpun bagi membantah projek itu, yang mula-mula mengundang perhatian selepas laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menunjukkan ia berdepan banyak masalah.

Sebahagian daripada peserta berhimpun pada Protes ‘Mana Kapal LCS’ di hadapan Kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Kebanyakan peserta membawa sepanduk berkenaan kehilangan dana awam yang didakwa berkaitan dengan menteri semasa dan sebelum ini yang terlibat dalam meluluskan projek LCS, yang diberkan kepada BNS menerusi rundingan terus pada 2011.

Seorang lagi yang berucap, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad membangkitkan bagaimana RM6 bilion itu boleh digunakan untuk membantu ratusan sekolah miskin.

Dia berkata isu tersebut begitu dekat dengan ramai veteran tentera yang berdaftar sebagai pengundi di kawasannya iaitu Parlimen Setiawangsa kerana memberi kesan langsung kepada angkatan keselamatan negara.

Sebahagian daripada peserta berhimpun pada Protes ‘Mana Kapal LCS’ di hadapan Kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Selain pemimpin Muda dan Pakatan Harapan (PH), Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ashraf Mustaqim Badrul Munir turut menyertai himpunan dan menggesa kerajaan dipertanggungjawabkan atas dana awam yang telah dibelanjakan untuk projek itu.

Kira-kira 100 anggota keselamatan yang tidak beruniform dilihat berkawal tempat himpunan, menghalang sebarang percubaan peserta untuk bergerak ke jalan.

Penganjur mengisytiharkan himpunan tamat pada pukul 3.15 petang tadi dengan para peserta mula beredar meninggalkan kawasan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here