CAP rayu RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 disokong

0
246

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu 12 ahli Parlimen yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 agar membuat keputusan bijak demi kebaikan generasi masa depan.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata sokongan terhadap RUU itu mampu menjimatkan berbilion ringgit perbelanjaan negara.

“CAP merayu 12 ahli Parlimen yang menduduki jawatankuasa itu akan membuat satu keputusan yang akan menyelamatkan jangkaan dua juta kematian dan keilatan akibat tabiat merokok.

“Masa depan dan nasib belia ini berada dalam tangan mereka dan keputusan menyokong RUU ini akan sangat dihargai semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu, lapor BH Online.

Pada 30 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, sejumlah dua juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian serta keilatan disebabkan penyakit berkaitan aktiviti merokok dalam tempoh sehingga 2040 sekiranya RUU terbabit berkuat kuasa.

Khairy yang mengetuai jawatakuasa pilihan khas berkenaan, berkata RUU itu amat penting bagi aspek kesihatan awam, malah tidak banyak undang-undang di negara ini yang boleh menyelamatkan bilangan nyawa seramai itu.

Subbarow turut berkata, sudah tiba masanya RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok disokong ahli Parlimen yang disifatkannya akan menjadi hadiah terbaik kepada generasi akan datang.

Jelasnya, lebih 20 negara telah mengharamkan vape dan e-rokok yang mempunyai banyak kesan mudarat kepada kesihatan termasuk penyakit kanser.

Pada Jumaat, Khairy berkata, anggota jawatankuasa berkenaan yang dianggotai wakil blok kerajaan dan pembangkang akan bermesyuarat buat kali pertama pada minggu depan.

Antara perkara perlu diteliti mereka adalah peruntukan undang-undang dalam aspek penguatkuasaan dan jumlah denda yang akan dikenakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here