KSM perlu percepat selesai masalah pekerja asing-Bersatu Johor

0
228

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mahu Kementerian Sumber Manusia (KSM) mempercepat proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemuduga di One Stop Centre (OCS) mengikut zon dan negeri.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, langkah tersebut adalah satu usaha untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja asing di negara ini.

“Pelaksanaan cadangan tersebut sehingga kini masih perlahan dan tidak menampakkan sebarang kemajuan sehingga telah memberi implikasi yang besar terhadap industri dan proses pemulihan negara khususnya pasca pandemik COVID-19.

“Walaupun telah banyak gesaan dan saranan diberikan, namun isu pekerja asing ini masih lagi belum dapat diselesaikan dengan tuntas.

“Banyak rungutan daripada majikan di sektor perladangan, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan yang masih merintih meminta agar isu ini dapat diselesaikan dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 17 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi berkata, kerajaan mengambil tiga pendekatan dalam usaha mengatasi masalah kekurangan pekerja asing di negara ini.

Ismail Sabri berkata, pertama, KSM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga penghujung bulan Julai ini.

“Kedua, para majikan digesa mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang telah diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja dan ketiga KSM digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan,” kata Perdana Menteri.

Dr Sahruddin berkata, selain itu pada 19 Julai lalu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyarankan agar prosedur pengambilan dan kemasukan pekerja asing dipermudahkan.

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, kekurangan tenaga kerja asing tersebut turut memberi kesan terhadap pasaran saham.

“Pada 8 Ogos lalu sebuah portal menyiarkan laporan bahawa Kenanga Research telah menyemak dan menurunkan penarafan saham SLP Resources Bhd kepada ‘market perform’ berbanding ‘out perform’ sebelum ini dengan harga sasaran lebih rendah pada 92 sen daripada 99 sen sesaham.

“Tindakan ini berikutan prestasi separuh pertama yang kurang memberangsangkan akibat masalah kekurangan pekerja terutama warga asing. Ini adalah antara impak apabila isu pekerja asing yang tidak ditangani secara serius sehingga mendatangkan kerugian kepada negara,” katanya.

Permasalahan itu katanya, diburukkan lagi dengan skandal rasuah kuota warga asing yang dilaporkan media baru-baru ini.

Dr. Sahruddin memberitahu, sehingga 4 Ogos lalu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menahan 10 individu yang disyaki terbabit dengan kes berkenaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here