LCS: Kenyataan Ahmad Nazim mengejutkan

0
287

KENYATAAN Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berhubung pengurusan dana oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dalam kapal tempur pesisir (LCS) adalah mengejutkan.

Itu reaksi bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong selepas Ahmad Nazim memaklumkan BNS adalah kontraktor utama dalam projek pembinaan LCS yang terpaksa mengambil alih dan menanggung hutang bank syarikat PSC, selepas entiti itu gagal dalam penswastaan projek pembinaan kapal tentera laut.

“Macam mana beliau boleh setuju bahawa penggunaan dana LCS yang disonglap untuk ‘bailout’ projek New Generation Patrol Vessel (NGPV) adalah sesuatu yang wajar dan boleh diterima.

“Satu hari nanti, takkan dana LTAT juga boleh disonglap untuk ‘bailout’ projek yang lain. Salah guna dana adalah jenayah dan tidak boleh diketepikan.

“Kenyataan Nazim Rahman di Facebook semalam adalah kenyataan paling mengejutkan kerana menunjukkan beliau langsung tidak faham proses pembinaan kapal perang dan juga gagal dalam peranan beliau sebagai Ketua Eksekutif LTAT,” katanya sebagaimana laporan Berita Harian.

Nazim dalam hantaran di Facebook pada Selasa memaklumkan sebahagian daripada dana LCS terpaksa diguna untuk membayar hutang lapuk syarikat PSC dan perkara itu katanya terkandung dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pada masa sama, Nazim turut menyatakan bahawa pembayaran RM6 bilion daripada nilai keseluruhan kontrak LCS RM9 bilion itu adalah bagi menampung perbelanjaan pembelian secara pukal hampir semua peralatan diperlukan bagi pembinaan enam kapal itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Chin Tong yang juga timbalan setiausaha agung DAP berkata, teori pembelian pukal disebut Nazim dianggap “satu penipuan” dan isu itu telah dibangkitkan oleh Tan Sri Ambrin Buang kepada PAC dalam satu prosiding ada 1 Disember 2020.

Menerusi prosiding itu, beliau berkata, Ambrin telah menimbulkan kepelikan berhubung tindakan pihak terbabit menandatangani kontrak perolehan itu sebelum reka bentuk dimuktamadkan.

“Kenapa beli peralatan sebelum reka bentuk dimuktamadkan? Pembinaan kapal perang bukan seperti membuat kapal Lego boleh pasang dan buka suka hati. lebih-lebih lagi, 15 peratus daripada peralatan yang dibeli secara pukal ini telah lapuk dan obsolete (usang),” katanya.

“Ini adalah pembaziran yang terlampau besar kerana pembelian peralatan dibuat sebelum reka bentuk dipersetujui oleh ‘design authority’ iaitu Naval Group.

“Sekiranya reka bentuk diubahsuai atau ditukar oleh design authority dalam proses pengesahan, maka peralatan dan wang yang diguna untuk membeli peralatan memang dibazirkan,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here