Kebenaran sementara solat Jumaat di 228 surau ditamatkan

0
222

KEBENARAN mendirikan solat Jumaat yang diberikan kepada 228 surau secara sementara sejak pandemik COVID-19 dua tahun lepas di negeri ini ditamatkan berkuat kuasa 19 Ogos depan.

Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil berkata keputusan itu diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini, selaras dengan syor Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang bersidang pada 27 Jun lepas untuk menamatkan kebenaran sementara itu.

“Ini bermakna 12 Ogos adalah solat Jumaat terakhir didirikan di semua surau berkenaan dan selepas tarikh tersebut semua anak kariah hendaklah kembali  bersolat di masjid kariah masing-masing.

“Ini berdasarkan justifikasi bahawa ruang masjid masih boleh menampung kapasiti jemaah dalam satu-satu masa, di samping mengimarah dan meninggikan syiar Islam di masjid-masjid serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat melalui penglibatan bersama dalam aktiviit-aktiviti masjid,” katanya kepada pemberita di Dewan Alamanda Jasin di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir sebagai panel Forum Kesedaran Derma Organ ‘Kitar Semula Organ Demi Sebuah Kehidupan’ sempena Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Abdul Halim berkata setakat ini hanya dua surau sementara di kariah Masjid Serkam Darat dan Masjid Kampung Gelam, Tangga Batu yang dibenarkan untuk terus mendirikan solat Jumaat kerana masjid berkenaan dalam proses pengubahsuaian dan pembinaan semula.

Dalam pada itu beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang mengesan aktiviti ajaran Hadi Minallah sekiranya terdapat pengikutnya di negeri ini yang terpengaruh kumpulan terbabit.

“Kami juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas dan negeri lain untuk meneliti dan memantau sekiranya terdapat elemen-elemen pengaruh ajaran sesat itu di Melaka,” katanya.

Baru-baru ini tular video memaparkan tindakan beberapa wanita berniqab memeluk dan mencium tangan seorang lelaki dipercayai pengasas ajaran tersebut dalam satu majlis di Langkawi yang dimuat naik di media sosial.

Berdasarkan video tular tersebut, kumpulan ajaran tersebut mengadakan majlis konvokesyen di Pulau Langkawi pada 10 hingga 13 Jun lepas.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here