Siasat, bawa pesalah ke muka pengadilan – Veteran TLDM

0
265

KEGAGALAN perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seperti dijanjikan bukan hanya mengecewakan rakyat negara ini, malah pesara TLDM sendiri.

Presiden Persatuan Veteran TLDM, Laksamana Pertama Mohamad Imran Abd Hamid berkata, pihaknya sangat marah dan kecewa kerana perkara ini masih belum selesai sejak beberapa tahun lalu.

“Pihak bertanggungjawab perlu ke hadapan bagi menyelesaikan segera isu ini. Siasat dengan telus dan bawa pelaku ke muka pengadilan.

“Saya sendiri ada membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai isu ini pada 2019. Sehingga kini masih belum selesai malah semakin banyak pula cerita ‘panas’ yang keluar,” katanya ketika dihubungi SatuBerita, hari ini.

Menurut Mohamad Imran, selaku sebahagian warga TLDM, beliau berharap projek pembinaan enam kapal LCS akan diteruskan demi kepentingan pertahanan negara.

“Bukan sikit duit dikeluarkan iaitu RM6 bilion tetapi hasilnya tiada. Semakin disiasat, semakin banyak isu tidak sedap didengar yang keluar.

“Saya juga ada menghantar surat kepada Kementerian Kewangan menyatakan hasrat untuk menjadi pemantau bebas supaya peruntukan tambahan RM4 bilion tidak digunakan untuk perkara lain. Tetapi tiga hari lepas permohonan itu ditolak.

“ Ikutkan tim kami juga mempunyai mereka yang berkemahiran dalam setiap bidang seperti arkitek, kejuruteraan mekanikal, jurutera senjata dan sebagainya. Tetapi tidak mengapa, saya harap, selepas kerajaan memperuntukkan peruntukan berkenaan projek itu dapat disempurnakan,” katanya yang berharap dapat menyaksikan Kapal LCS sebelum menutup mata.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion. Kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here