Kapal LCS…adakah dunia akan ketawakan kita lagi ?

0
372

Oleh Zulkiflee Bakar

BEBERAPA parti politik menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal LCS TLDM.

Isu ini bukan isu kecil ia melibatkan berbilion ringgit wang rakyat. Semua pihak mahu tahu apa yang berlaku bagaimana mungkin wang dibayar sedangkan tidak ada sebuah pun kapal LCS diterima oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketika ini kita mendengar satu demi satu pendedahan berkaitan skandal itu yang dibimbangi akan menjadi ‘setaraf’ skandal 1MDB yang sehingga kini bukan sahaja memalukan negara tetapi juga kita terus diketawakan dunia.

Justeru itulah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus menunjukkan ketegasan beliau untuk menyembah perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mencadangkan supaya RCI ditubuhkan.

Ketika ini sudah tidak nampak jalan lain bagi mendapat kebenaran di sebalik skandal yang terdedah hasil laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Tetapi tidak mengapalah itu hak beliau, begitulah juga dengan oleh bekas Menteri Pertahanan yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Mereka juga berhak memberi ulasan dalam isu tersebut.

Namun apa yang pasti ketika ini skandal kapal LCS  sudah menjadi bahan ketawa rakyat Malaysia, dalam media-media sosial pelbagai poster sindiran dihasilkan. Itu baru sindiran dalam negara, bagaimana dengan masyarakat dunia?

Bukan sahaja ia melibatkan berbilion ringgit wang rakyat tetapi juga seperti mana kata bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ia merencatkan keupayaan TLDM untuk mengawal perairan negara disebabkan kegagalan syarikat yang dianugerah kontrak pembinaan kapal LCS secara rundingan terus untuk menyiapkan projek tersebut.

Isu dakwaan penyelewengan kapal LCS ini bukan isu kecil, banyak persoalan yang harus dirungkai termasuklah pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu yang amat mengejutkan banyak pihak.

Sudah pasti kita mahu tahu kenapakah bantahan beliau tidak diendahkan oleh Menteri Pertahanan sedangkan Abdul Aziz ketika itu adalah Panglima TLDM. Beliau pasti tahu jenis kapal yang paling sesuai untuk TLDM.

Oleh itu Ismail Sabri harus memandang serius skandal ini yang tercetus ketika pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) begitu teruja mahu PRU-15 kononnya atas nama mahu mewujudkan kestabilan.

Soal PRU-15 boleh dikemudiankan, lagipun tempoh tamat tempoh masih ada tahun depan tetapi  skandal kapal LCS ini adalah isu serius yang seolah-olah menunjukkan negara kita tidak habis-habis dibelenggu dengan masalah rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

Untuk bersikap adil, biarlah siasatan menentukan  apa sebenarnya berlaku dan cara terbaik ialah melalui penubuhan RCI atau Suruhanjaya Bebas Diraja. Inilah yang perlu diberikan keutamaan oleh Perdana Menteri kerana ia sekali lagi melibatkan maruah negara.

Kita tidak mahu lagi negara menjadi bahan ketawa sehingga kalau nak memperkenalkan Malaysia tidak payah lagi bersusah payah nak tunjuk apa negara kita ada, sebut sahaja skandal yang berlaku semua orang kenal Malaysia. Adakah kita mahu ia sampai ke tahap itu?

Justeru itulah Ismail Sabri sebagai pemimpin nombor satu negara perlu bertindak dan menunjukkan ketegasan bahawa beliau sama sekali tidak akan berkompromi dalam apa juga isu yang melibatkan soal integriti.

Penulis percaya Ismail Sabri mempunyai keupayaan tersebut. Lagipun semua pihak mahu tahu siapa terlibat dan siapa dalang di sebalik skandal ini. Yang tengah dok ‘bersilat’ tu biarkan sahaja. Isu ini tidak boleh diselesaikan dengan berbalas-balas hujah melalui media sosial, sebaliknya boleh diselesaikan secara tuntas melalui RCI atau Suruhanjaya Bebas Diraja.

Jika itu dapat dilakukan sudah pasti ia akan dapat mengelakkan  negara kita sekali lagi menjadi bahan ketawa dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here