[VIDEO] Sukar dapat pekerja, pengusaha kedai makan gulung tikar, pendek waktu operasi, tidak jual roti canai

0
852

ISU kekurangan tenaga kerja asing yang menghimpit pelbagai sektor ekonomi turut memberi kesan kepada sektor penyediaan makanan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Govindasamy Jayabalan berkata kekurangan pekerja asing dalam perusahaan restoran dan kedai makan memberi tamparan hebat kepada pengusaha.

“Banyak kedai kini telah mengurangkan waktu perniagaan sebagai contoh daripada lapan pagi sehingga lapan malam, ataupun daripada jam tujuh pagi sehingga tujuh malam sahaja.

“Selain itu, sebagai contoh, kadang-kadang kalau restoran itu ada menjual roti canai, tetapi jika tiada pekerja ini, mereka tidak dapat menjual roti canai.

“Jadi, ini akan mengakibatkan perusahaan mereka merosot dan jualan harian kita turut terkesan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Isnin.

Jelasnya, masalah ini dilihat kritikal kerana kira-kira 300 perusahaan makanan India ‘gulung tikar’ sejak masalah kekurangan pekerja asing.

Selain itu, Govindasamy turut berkata permintaan gaji yang lebih rendah dalam kalangan pekerja baharu dapat mengurangkan kos operasi yang membebankan pengusaha.

“Pekerja baru ini kami dapat menawarkan gaji pada RM1,500. Tetapi, untuk pekerja lama ini, mereka akan meminta RM1,700 hingga RM2,000 untuk meminta mereka supaya kekal bekerja,” katanya.

Perkara ini turut diburukkan dengan pengumuman kerajaan sebelum ini yang menghentikan sementara pengambilan pekerja asing bermula 15 hingga 31 Ogos.

“Sekarang, apabila kita tengok bermula 15 Ogos sampai 31 Ogos ditutup lagi, jadi ini akan menjadikan perusahaan kami lebih merosot.

“Sebelum ini, baru sahaja kita dapat membuka semula perniagaan seperti biasa, tetapi apabila terjadi perkara sebegini, ada rasa sedih juga bagi kami dan peniaga,” katanya.

Isu kekurangan pekerja asing telah banyak dibangkitkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebelum ini namun tiada langkah susulan berkesan dilakukan kerajaan.

Pada 19 Julai lalu, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menzahirkan rasa kecewa apabila cadangan untuk memudahkan proses kemasukan pekerja asing masih belum dapat diselesaikan sedangkan ada keperluan mendesak dalam banyak sektor pekerjaan seperti industri kecil dan sederhana (SME), perladangan dan pembinaan.

Mengulas lanjut, Govindasamy berkata, prosedur baharu yang diperkenalkan kerajaan untuk proses pendaftaran pekerja asing meruncingkan lagi isu kekurangan pekerja ini.

“Sebelum ini, kalau untuk dapatkan kelulusan (pendaftaran), kami hanya perlu tunggu kira-kira dua hingga tiga hari sahaja.

“Tetapi, sekarang, kami perlu tunggu antara dua ke tiga minggu hanya untuk mendapatkan kelulusan walaupun sudah menemu bual (pekerja),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here